Sorting by

×

LEBIH 3,000 WARGA ALOR GAJAH TERIMA MANFAAT BANTUAN KERAJAAN NEGERI

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

MACHAP JAYA 26 April – Sepanjang tiga tahun pentadbiran Kerajaan Negeri, Parlimen Alor Gajah terus menjadi antara fokus utama pembangunan negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Menurutnya, seramai 3,024 warga Alor Gajah menerima manfaat melalui tujuh tunjang bantuan MESRA Kebajikan Masyarakat dengan peruntukan RM22.3 juta, selain RM63.72 juta disalurkan bagi 164 projek infrastruktur di kawasan itu.

“Semua inisiatif dilaksanakan ini menyentuh sederap kehidupan rakyat di Parlimen Alor Gajah bagi memenuhi hasrat dan keperluan rakyat di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program WRUR Parlimen Alor Gajah: Kampung Kita DUN Machap Jaya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Machap Baru, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Adun Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri merangkap Adun Gadek Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Adun Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil; Presiden MCA Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Ketua Menteri memaklumkan pelaksanaan WRUR di DUN Asahan, Gadek dan Machap Jaya turut menyaksikan pelbagai projek pembangunan berimpak tinggi dilaksanakan bagi kesejahteraan rakyat.

Jelasnya, di DUN Asahan, antara projek utama ialah pembaikan gelinciran cerun di Rizab Empangan Jus bernilai RM2.9 juta, pemasangan paip baharu Kampung Sungai Dua ke Klinik Desa Asahan bernilai RM2.2 juta, serta Projek Pengaluran Sungai di Kampung Tanjung Rimau dengan peruntukan RM50,000 yang dijadual bermula Mei 2026.

“Sementara itu di DUN Gadek, Kerajaan Negeri melaksanakan naik taraf Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Padang Sebang (RM800,000), tapak penjaja Pulau Sebang (RM415,000) serta dewan terbuka dan gelanggang serbaguna Pulau Sebang 3 (RM334,000).

“Bagi DUN Machap Jaya pula, antara projek dilaksanakan ialah Masjid Lesung Batu (RM6.6 juta), padang permainan SK Melaka Pindah (RM1.2 juta), dewan terbuka Kampung Tebong Stesen (RM500,000) serta baik pulih fasiliti sukan Taman Melaka Perdana (RM188,000),” katanya.

Menurut Ab Rauf, semua projek ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan pembangunan seimbang dan menyeluruh, dengan impak sebenar yang lebih dirasai rakyat berbanding sekadar angka peruntukan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

624
Kongsi :
Previous post WRUR MENYUSURI KISAH, MENGANGKAT HARAPAN RAKYAT – AB RAUF
Next post DUN MACHAP JAYA TERIMA 107 PROJEK BERNILAI RM4.07 JUTA