
WRUR MENYUSURI KISAH, MENGANGKAT HARAPAN RAKYAT – AB RAUF
MACHAP JAYA 26 April – Sepanjang 13 siri pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), kisah, cabaran dan harapan rakyat yang memerlukan perhatian diselami menerusi pendekatan turun padang oleh kepimpinan negeri di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, setiap kawasan membawa kisah tersendiri termasuk cabaran hidup rakyat serta harapan yang menuntut perhatian dan tindakan sewajarnya daripada kerajaan.
“Bayangkan jika tiada pendekatan seperti WRUR ini, mungkin kita tidak pernah tahu masih ada insan yang berbumbungkan atap bocor dan keluarga yang hidup dalam serba kekurangan menantikan sentuhan perubahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program WRUR Parlimen Alor Gajah: Kampung Kita Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Machap Baru, di sini, semalam.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem.
Turut hadir Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil serta Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong.
Menurut Ab Rauf, WRUR merupakan pendekatan kerajaan untuk memastikan setiap suara rakyat didengari dan diterjemahkan kepada tindakan, bukan sekadar didengar atau dilihat dari jauh.
“Di sinilah peranan sebenar WRUR, kita turun sendiri ke pelusuk kampung bukan sekadar untuk mendengar mahupun melihat, tetapi memastikan setiap suara dan rintihan rakyat diangkat serta diterjemah kepada tindakan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa setiap suara rakyat adalah amanah, setiap rintihan disampaikan juga merupakan amanah, dan setiap penyelesaian yang diusahakan adalah bukti komitmen kerajaan terhadap tanggungjawab tersebut.
“Jika ada bertanya apakah roh WRUR ini, jawapan saya ialah inilah amanah wakil rakyat dan pentadbiran negeri demi rakyat, untuk rakyat.
“Daripada rakyat kita mendapat mandat, kepada rakyat kita kembali berkhidmat,” katanya.
Tambahnya, matlamat kerajaan jelas iaitu memastikan rakyat merasai kehadiran kerajaan dalam kehidupan mereka, memahami kesusahan yang dihadapi serta mencari penyelesaian terbaik.
“Walaupun usaha yang dilakukan nampak kecil, namun sentuhan itu memberi makna besar kepada keluarga besar Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


