Sorting by

×

WRUR: ‘KAMPUNG KITA’ PUPUK SEMANGAT KECINTAAN

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

MACHAP JAYA 26 April – Konsep ‘Kampung Kita’ yang diterapkan menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Alor Gajah berjaya menyatukan komuniti serta mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.

Pengerusi Penyelaras Program WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, pendekatan itu mencerminkan semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk selain menjadi platform penting untuk menyelami keperluan rakyat secara lebih dekat.

Menurut beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, program itu turut membuktikan kecintaan masyarakat terhadap kawasan masing-masing apabila pelbagai agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turun padang bersama barisan Exco bagi menyantuni penduduk.

“Di bawah Parlimen Alor Gajah, dua Dewan Undangan Negeri (DUN) telah bermula tahun lalu iaitu Rembia dan Durian Tunggal, seterusnya pada tahun ini di tiga lagi DUN iaitu Asahan, Gadek dan Machap Jaya, kita dapat lihat program ini sememangnya dinanti-nantikan masyarakat.

“Tahniah kepada semua penduduk di setiap Japerun dalam Parlimen Alor Gajah yang memberikan sokongan padu sepanjang penganjuran WRUR dan ini sekali gus menunjukkan bahawa inisiatif Kerajaan Negeri ini membawa impak dan makna cukup besar kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Penutup Program WRUR Parlimen Alor Gajah: Kampung Kita yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Machap Baru, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri merangkap Adun Gadek Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Adun Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil; Presiden MCA Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Fairul Nizam yang juga Adun Asahan berkata, ilham ‘Alor Gajah Kampung Kita’ bukan sahaja memperkukuh jalinan sosial, malah memastikan setiap lapisan masyarakat tidak terpinggir dalam arus pembangunan negeri.

“Insya-Allah, kita akan terus memperluaskan pelaksanaan program ini supaya lebih banyak kawasan dapat disantuni, sekali gus memastikan kebajikan rakyat terus terbela dan suara mereka sentiasa diberi perhatian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

280
Kongsi :
Previous post MELAKA KONGSI VISI BANDAR PINTAR KEPADA DELEGASI DUNIA
Next post WRUR: AYER KEROH SEMAKIN MEMBANGUN DI BAWAH PAYUNG MELAKA SAYANG RAKYAT