Sorting by

×

WRUR: AYER KEROH SEMAKIN MEMBANGUN DI BAWAH PAYUNG MELAKA SAYANG RAKYAT

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 26 April – Pelbagai inisiatif pembangunan terus dilaksanakan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh sebagai bukti menyokong gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat merangkumi aspek infrastruktur, ekonomi, pendidikan, pelancongan serta keselamatan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara projek utama ialah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Putat bernilai RM24.5 juta yang dijangka mampu mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan tersebut.

Selain itu katanya, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) turut membelanjakan hampir RM9.39 juta pada tahun lalu bagi menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur awam termasuk jalan serta sistem perparitan.

“Langkah dan usaha ini telah memberi impak positif apabila beberapa kawasan hotspot banjir dalam DUN Ayer Keroh berjaya diminimakan yang mana sebelum ini sering membelenggu penduduk sekitar.

“MPHTJ turut menaik taraf sistem perparitan di Taman Melawis, Taman Bukit Beruang Utama, Taman Bukit Beruang Bistari dan Taman Seri Jati dengan kos keseluruhan bernilai RM1.7 juta.

“Kawasan kampung tidak terkecuali menerima nikmat pembangunan daripada Kerajaan Negeri meskipun DUN Ayer Keroh hanya mempunyai tiga kampung tradisi dan sebuah Kampung Baru yang mana pada tahun lalu RM310,000 digunakan bagi projek infrastruktur awam dan kerja menyelenggara jalan kampung, naik taraf perparitan dan fasiliti rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Ayer Keroh di Dataran MADANI, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh Kerk Chee Yee; Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong serta barisan Exco dan Timbalan Exco dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada peniaga kecil menerusi pembinaan ruang niaga terbuka di Laman Niaga Pinggiran Sungai MITC bernilai RM573,000 yang menyediakan 40 lot perniagaan dan dijangka siap pada hujung Mei depan.

Tambahnya, sebagai kawasan pintu masuk utama ke Melaka, Ayer Keroh turut menerima peruntukan melebihi RM3.7 juta bagi kerja-kerja landskap dan keceriaan kawasan pelancongan dari tahun 2024 hingga 2026.

“Dalam sektor pendidikan pula, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pembinaan Kompleks Sekolah Batu Berendam bernilai hampir RM213 juta, selain projek Tabika KEMAS Taman Ayer Keroh Heights berjumlah RM2.2 juta.

“Bagi aspek keselamatan, Kerajaan turut meluluskan pembinaan Balai Polis Ayer Keroh baharu bernilai RM45 juta, manakala Klinik Kesihatan Ayer Keroh akan dinaik taraf dengan kos RM580,000 dan dijangka siap pada September 2026,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

267
Kongsi :
Previous post WRUR: ‘KAMPUNG KITA’ PUPUK SEMANGAT KECINTAAN
Next post 1,300 GAMATKAN HEY V RUN 6.0 DI KLEBANG