Sorting by

×

1,300 GAMATKAN HEY V RUN 6.0 DI KLEBANG

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KLEBANG 26 April – Lebih 1,300 peserta memeriahkan acara larian Hey V Run 6.0 Sempena Ulangtahun Ke-23 Bandaraya Melaka Bersejarah di Dataran Klebang, di sini, hari ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, istimewanya program anjuran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bersama Lions Club of Melaka Raya itu turut menarik kehadiran peserta antarabangsa, selain pelbagai lapisan umur termasuk kanak-kanak.

Jelas beliau, program seumpamanya bukan sahaja memberi impak kepada amalan gaya hidup sihat, bahkan pada masa sama turut memacu sektor pelancongan berasaskan sukan.

“Menerusi program ini, MBMB berjaya menzahirkan semangat kesukanan dalam usaha membentuk warga bandaraya yang sihat, bahagia dan sejahtera bersempena Sambutan Ulangtahun Ke-23 Bandaraya Melaka Bersejarah.

“Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, malah turut menyemarakkan semangat perpaduan, kebersamaan dan kesejahteraan komuniti selaras dengan aspirasi Melaka Sayang Rakyat (MeSRa),” katanya kepada Melaka Hari Ini pada Majlis Penutup Program Hey V Run 6.0 Sempena Ulangtahun Ke-23 Bandaraya Melaka Bersejarah.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.

Menurut Rais, acara larian itu menampilkan tiga kategori utama iaitu Half Maraton 21 kilometer (km); Competition Run 18km dan Fun Run 3.5km.

Selain larian, beliau memaklumkan program itu turut menyelitkan elemen kebajikan iaitu penyampaian sumbangan kepada beberapa organisasi dan institusi termasuk Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM), St. John Ambulance Malaysia Melaka Tengah serta beberapa buah sekolah.

“Inisiatif ini jelas mencerminkan bahawa penganjuran ini bukan sahaja berfokus kepada aspek kesihatan fizikal, tetapi turut menitikberatkan nilai keprihatinan sosial dan semangat membantu mereka yang memerlukan,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

329
Kongsi :
Previous post WRUR: AYER KEROH SEMAKIN MEMBANGUN DI BAWAH PAYUNG MELAKA SAYANG RAKYAT
Next post LEBIH 50 PROGRAM WARNAI WRUR AYER KEROH, 100 ADUAN RAKYAT AKAN DISELESAIKAN