
YB ALONG SEJAHTERAKAN WARGA FELDA BUKIT SENGGEH
ASAHAN 28 April – Pelbagai inisiatif pembangunan yang dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan khususnya di Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh memberi manfaat besar kepada penduduk.
Ketua Peneroka Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh, Amizan Husin berkata, usaha berterusan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan yang komited dalam membangunkan infrastruktur serta menjaga kebajikan rakyat khususnya warga felda membawa implikasi positif.
Katanya, selain menekankan kebajikan rakyat menerusi program ziarah kasih dilakukan, pembangunan sukan dalam kalangan generasi muda antara fokus utama diberikan apabila membaik pulih gelanggang gasing, takraw dan futsal demi keselesaan penduduk.
“Setiap pemasalahan atau aduan yang disampaikan kepada YB akan diberikan perhatian sebelum penyelesaian diambil walaupun ada di antaranya mengambil sedikit masa tetapi ia akan ditangani.
“Misalnya gelanggang gasing yang sekian lama berada dalam keadaan uzur kini dengan usaha beliau felda kami mempunyai sebuah gelanggang gasing pangkah bukan sahaja terbesar di Melaka tetapi boleh dikatakan antara yang termoden.
“Dengan adanya gelanggang yang lebih selesa ini dapat menarik minat generasi muda untuk beriadah dan bersukan sekali gus dapat memupuk generasi sihat,” katanya.
Menurutnya, pemasangan kira-kira 30 unit lampu solar disepanjang laluan dari Bukit Katong ke Bulatan Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh yang diusahakan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri itu bukan sahaja melegakan penduduk setempat malah meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.
“Sebelum ini laluan tersebut boleh dikatakan kerap berlaku kemalangan tetapi dengan pemasangan lampu solar keadaan di laluan itu tidak lagi gelap dan lebih selamat.
“Sikap ramah dan mesra beliau juga membuatkan rakyat mudah mendekati dan bertegur sapa tanpa mengira latar belakang.
“Dalam menjaga kebajikan rakyat beliau amat peka dengan nasib golongan kurang berkemampuan apabila ada diantara rumah daif yang dibantu dan diberikan inisiatif penukaran zink,” katanya.
Jelasnya, pelaksanaan pelbagai projek pembangunan dan kebajikan membuktikan komitmen berterusan Fairul Nizam atau mesra dikenali sebagai YB Along dalam memastikan kesejahteraan penduduk secara menyeluruh.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


