
KERAJAAN MELAKA TIDAK KERJA BERMUSIM, TIDAK TUNGGU PRN UNTUK BERKHIDMAT
SERI NEGERI 27 April – Kerajaan Negeri akan memastikan persediaan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan berjalan dengan baik dan lancar mengikut undang-undang seperti dihasratkan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, walaupun kini berada di penghujung penggal pentadbiran, Kerajaan Negeri tidak pernah menunggu PRN untuk berkhidmat.
Malah, ujar beliau, Kerajaan Negeri juga tidak bekerja bermusim, tidak berpolitik sepanjang masa sehingga melupakan tanggungjawab.
“Ketika ada pihak sibuk menabur persepsi, kita sibuk menyelesaikan masalah. Ketika ada pihak ghairah mencari kesalahan, kita fokus mencari penyelesaian.
“Kita bekerja kerana ini adalah tanggungjawab. Kita tidak melangkah kerana mahu menang semata-mata, tetapi kerana kita mahu terus berkhidmat.
“Segala pencapaian yang kita usahakan hari ini bukan hasil retorik, bukan juga janji kosong. Ia lahir daripada kerja keras, keputusan berani dan kesungguhan yang konsisten,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan Usul Terima Kasih Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Ab Rauf menambah, Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) bukanlah slogan yang dilaungkan ketika hampirnya pilihan raya, sebaliknya ia adalah denyut nadi pentadbiran ini yang telah kita gerakkan sejak hari pertama memikul amanah.
“Dari kebajikan rakyat, pembangunan ekonomi, hinggalah kesejahteraan sosial… semuanya berpaksikan satu prinsip: Demi Rakyat Untuk Rakyat.
“Dan jika rakyat memberi kepercayaan sekali lagi, insya-Allah kita akan melangkah lebih jauh, bekerja lebih kuat dan membina Melaka yang lebih gemilang,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


