
NELAYAN MELAKA BAKAL TERIMA CARUMAN KHAIRAT KEMATIAN
SERI NEGERI 28 April – Hampir 1,000 nelayan berlesen di Melaka bakal menikmati manfaat caruman khairat kematian yang akan dilaksanakan bermula tahun ini.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, inisiatif itu diperkenalkan bagi memastikan kebajikan keluarga nelayan terus terpelihara sekiranya berlaku perkara tidak diingini.
Menurutnya, semua nelayan berlesen akan dilindungi di bawah skim berkenaan yang memberi jaminan bantuan awal kepada waris.
“Setiap nelayan berlesen ini akan dicarum khairat kematian. Sekurang-kurangnya jika berlaku apa-apa, anak dan isteri mereka ada sesuatu yang boleh dijadikan sandaran sementara menunggu bantuan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Leng Chau Yen (PH- Banda Hilir) mengenai cadangan mewujudkan mekanisme perlindungan untuk nelayan pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, semalam.
Dr. Muhamad Akmal berkata, langkah itu dilihat penting memandangkan golongan nelayan berdepan risiko tinggi ketika mencari rezeki di laut.
“Pelaksanaan skim berkenaan juga menjadi antara usaha memperkukuh jaringan keselamatan sosial komuniti nelayan di Melaka, selain merupakan inisiatif yang julung kali diperkenalkan di negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


