Sorting by

×

‘PUYUH EMAS’ PEKAN NYALAS LARIS

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

ASAHAN 3 Mei – Bermula dengan ternakan puyuh secara kecil-kecilan di rumah, kini pengusaha puyuh pedaging Sapurah Anwar tidak menang tangan mengusahakan ladang miliknya di Pekan Nyalas.

Sapurah, 50, berkata, dia tidak menyangka ternakan yang dimulakan sejak empat tahun lalu oleh suaminya Ismail Ahmad, sekadar mengisi masa terluang kini dapat menjana pendapatan keluarga.

Katanya, dari tahun ke tahun permintaan terhadap puyuh pedaging diusahakan mendapat permintaan tinggi sehingga dia kini perlu menyewa tanah untuk dijadikan ladang.

“Walaupun sekarang kami mengeluarkan kira-kira 1,000 ekor puyuh pedaging sebulan, jumlah itu masih tidak mencukupi kerana permintaan sentiasa ada.

“Selain mempunyai pelanggan tetap yang terdiri daripada pengedar, kami juga menerima tempahan daripada hotel dan juga dari luar Melaka seperti Johor.

“Bagi memastikan tempahan mencukupi dan stok mencukupi, setiap minggu sebanyak 400 ekor anak puyuh akan dibawa masuk untuk diternak sebelum diproses,” katanya.

Pemilik Puyuh Emas D’Nyalas itu berkata, selain menjual puyuh pedaging sejuk beku, tempahan yang tinggi juga diterima untuk puyuh salai terutamanya pada musim perayaan.

“Permintaan untuk hari raya amat menggalakkan malah untuk tahun ini minggu kedua puasa ladang sudah kosong dan bekalan puyuh habis terjual. Boleh katakan puyuh kami ‘fresh’ kerana ia tidak simpan lama sudah habis terjual.

“Selain puyuh sejuk beku kami turut menjual puyuh yang sudah dimasak berdasarkan permintaan atau tempahan dan menu yang laris adalah puyuh percik yang selalu menjadi permintaan daripada hotel,” katanya.

Menurut ibu kepada enam anak itu, harga pasaran puyuh adalah RM4.50 seekor dengan anggaran berat 250 gram manakala puyuh salai pula dijual RM5.50 seekor.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

568
Kongsi :
Previous post PEKEBUN LEGA MASALAH HAKISAN TEBING SUNGAI SELESAI