
MENARA TAMING SARI LEBIH ‘HIDUP’, TARIK LEBIH RAMAI PENGUNJUNG
BANDA HILIR 3 Mei – Menara Taming Sari terus komited membawa kelainan kepada pengunjung dengan memperkenalkan pelbagai tarikan baharu, termasuk ‘Petting Zoo & Animal Show @Menara Taming Sari’, buat julung kalinya bersempena Melaka Bila Larut Malam Edisi Mei 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) Nur Azan Hassan berkata, kelainan yang dibawa itu secara tidak langsung dapat menawarkan pengalaman berbeza bukan sahaja kepada pelancong tempatan malah luar negara apabila menjejakkan kaki ke menara ikonik itu.
“Untuk edisi kali ini bersempena cuti berganda Menara Taming Sari membawakan khas buat julung kalinya ‘Petting Zoo & Animal Show @Menara Taming Sari’ di perkarangan Menara Taming Sari.
“Kira-kira 30 jenis haiwan yang dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu haiwan ladang (farm animal), burung (bird side), mamalia (mammals corner) dan haiwan eksotik (exotic creatures) dibawakan untuk pengunjung.
“Sekiranya mendapat sambutan menggalakkan, konsep ini dijangka akan diteruskan pada edisi akan datang kerana aktiviti ini dapat memberikan pengalaman menarik khususnya kepada anak-anak,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Nur Azan, Menara Taming Sari sentiasa berusaha menampilkan kelainan dalam setiap edisi penganjuran Melaka Bila Larut Malam, termasuk merancang pelbagai aktiviti menarik sempena cuti sekolah akan datang.
“Seperti sebelum ini kami mengadakan persembahan kebudayaan dan baru-baru ini bersempena Tahun Baharu Cina turut diadakan tarian singa dan ini antara pendekatan dalam merancakkan lagi Melaka Bila Larut Malam sekali gus menarik lebih ramai pengunjung ke Menara Taming Sari.
“Justeru itu untuk edisi akan datang bersempena cuti sekolah pastinya kita juga akan bawakan kelainan yang boleh menarik kedatangan pengunjung,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


