
WRUR AYER MOLEK BAWA KELAINAN SEPANJANG 8 HARI
AYER MOLEK 3 Mei – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek yang berlangsung 3 hingga 10 Mei ini akan menampilkan kelainan dengan pengisian lebih 100 program untuk segenap lapisan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman berkata, antara kelainan yang dibawakan adalah menyediakan program khas untuk anak muda yang meminati dunia permotoran.
Jelas beliau, program itu dibawakan memandangkan DUN Ayer Molek menjadi antara kawasan yang memiliki ramai peminat dunia permotoran selain pelumba berdaftar di negeri ini.
“Oleh sebab itu kita merangka banyak program bersama anak muda antaranya konvoi melibatkan lebih 200 motosikal, selain bakal diadakan juga Dyno Race, di mana, menerusi program ini kita mahu mengetengahkan elemen dunia permotoran selamat.
“Pada masa sama, akan diadakan juga pameran motosikal yang akan melibatkan pertandingan lebih 30 kategori sebagai daya penarik pada majlis perasmian penutup yang akan diadakan pada 10 Mei nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program WRUR DUN Ayer Molek: Hang Tuah Jaya Kampung Kita yang disempurnakan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan di Kompleks Japerun Ayer Molek, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Adun Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron serta lain-lain kenamaan.
Rahmad yang juga Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri berkata, selain anak muda, program yang dirangka juga cukup menyeluruh merangkumi segenap lapisan masyarakat, termasuklah program keagamaan seperti Ayer Molek Berselawat yang dijadual pada 9 Mei.
Pada masa sama, program komuniti seperti ziarah kasih, sukan rakyat dan acara melibatkan masyarakat jawa yang sinonim di DUN Ayer Molek juga bakal diadakan sepanjang lapan hari berlangsungnya WRUR.
“Turut diadakan Hari Aduan Rakyat pada 5 Mei, di mana ia menjadi platform terbaik untuk rakyat Ayer Molek menyalurkan aduan secara terus kepada kepimpinan Kerajaan Negeri serta agensi dan jabatan terlibat.
“Saya percaya semua pengisian sepanjang WRUR ini dapat memberi kesan positif kepada rakyat, khususnya di DUN Ayer Molek,” tambahnya.
Menurut Rahmad, DUN Ayer Molek mempunyai seramai 31,200 penduduk yang diuruskan di bawah 13 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan satu Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Baru (JPKKB).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


