Sorting by

×

MACHAP UMBOO LAMBANG SEBUAH PENGORBANAN

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

MACHAP JAYA 12 Mei – Kampung Machap Umboo hari ini berdiri sebagai sebuah penempatan yang tersusun rapi, lengkap dengan pelbagai infrastruktur moden sehingga kelihatan seperti sebuah taman yang terancang dan selesa untuk didiami.

Di sebalik itu, tersimpan kisah lama yang tidak diketahui ramai, iaitu tentang perpindahan penduduk yang membawa perubahan besar dalam kehidupan penduduk setempat suatu ketika dahulu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Baharu (JPKKB) Machap Umboo, Chua Boon Pok, 65, berkata, kawasan tersebut sering disangka sebagai taman baharu kerana susun aturnya yang teratur dan kemudahan yang lengkap, namun sebenarnya ia merupakan penempatan semula penduduk dari kampung asal.

“Kampung asal Machap Umboo sebenarnya telah wujud sekitar tahun 1940-an dan terletak di kawasan yang kini dikenali sebagai Empangan Durian Tunggal.

“Pada tahun 1976, kerajaan ingin membangunkan empangan tersebut dan meminta kesemua penduduk di kawasan itu untuk berpindah ke penempatan baharu.

“Mereka diberi tempoh selama tiga tahun untuk berpindah secara berperingkat. Kira-kira 1,000 penduduk dari 120 buah rumah terlibat dalam proses perpindahan itu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, proses perpindahan itu bukan sahaja melibatkan perubahan tempat tinggal, malah turut membuka lembaran baharu dalam kehidupan penduduk yang sebelum ini menetap dalam suasana kampung.

“Ketika itu, kerajaan telah menyediakan sebanyak 300 lot tapak rumah dan menambah lagi 50 lot bagi menampung semua penduduk. Tapak tersebut dijual kepada penduduk dengan harga yang sangat rendah, iaitu sekitar 16 sen sekaki persegi.

“Jumlah keseluruhan peruntukan bagi proses penempatan semula ini dianggarkan sebanyak RM4.6 juta, termasuk kos pembinaan rumah yang dianggarkan sekitar RM4,000 sebuah,” ujarnya.

Tambah Boon Pok lagi, perancangan awal penempatan semula sebenarnya dicadangkan di kawasan Bukit Sedanan kerana kedudukannya yang lebih tinggi dan selamat daripada risiko kenaikan air, namun akhirnya penempatan dibangunkan di lokasi sedia ada yang lebih sesuai dengan perancangan ketika itu.

Dia turut menjelaskan bahawa kehidupan di kampung asal dahulu jauh berbeza berbanding sekarang kerana ketika itu kemudahan asas masih terhad.

Menurutnya lagi, antara perubahan paling ketara ialah keadaan penempatan baharu yang lebih selamat dan tidak lagi terdedah kepada risiko banjir seperti di kawasan lama.

Perubahan ini jelas menunjukkan bahawa perpindahan tersebut bukan sahaja mengubah lokasi kediaman, malah turut meningkatkan kualiti hidup penduduk secara keseluruhan.

Kini, Kampung Machap Umboo didiami kira-kira 900 penduduk. Seiring perubahan masa, penduduk kini menikmati kehidupan yang lebih selesa dengan pelbagai kemudahan berdekatan seperti sekolah, klinik dan kemudahan asas lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

338
Kongsi :
Previous post LEBIH 4 DEKAD, ASAHAN TERUS JADI ‘RUMAH’ SILAT
Next post PULAU SEBANG SENTRAL NADI PENGANGKUTAN AWAM BAHARU ALOR GAJAH