Sorting by

×

MELAKA LUNCUR SISTEM QR TAGGING HAIWAN TERNAKAN PERTAMA DI MALAYSIA 16 MEI INI

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER MOLEK 10 Mei – Sistem pengurusan ternakan Melaka akan menjadi lebih teratur dan efisien menerusi Sistem QR Tagging Haiwan Ternakan yang pertama di Malaysia akan diluncurkan pada 16 Mei ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu sudah pasti dapat menangani permasalahan haiwan berkeliaran yang menimbulkan rasa kurang senang orang ramai khususnya pengguna jalan raya.

“Contoh paling dekat, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek baru-baru ini, ramai penduduk bangkitkan isu haiwan ternakan, hal ini disampaikan kepada saya oleh Ahli Dewan Udangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman.

“Saya nak maklum, jangan risau, sebab itu, Kerajaan Negeri telah bertindak lebih awal, pada 16 Mei 2026 ini, kita akan meluncurkan Sistem QR Tagging Haiwan Ternakan yang pertama di Malaysia. Melalui sistem ini nanti, kita dapat mengenal pasti dengan lebih mudah siapa pemilik haiwan ternakan tersebut,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program WRUR Parlimen Hang Tuah Jaya: Kampung Kita Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di Japerun Ayer Molek, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Negeri Melaka serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman merangkap Adun Ayer Molek.

Yang turut hadir Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin merangkap Adun Pengkalan Batu, Adun Ayer Keroh Kerk Chee Yee, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta serta Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan.

Katanya, sistem itu juga mampu mengelakkan pertelagahan dalam kes lembu hilang, atau tidak ada pihak yang mahu mengaku apabila ternakan berkeliaran menyebabkan kemalangan jalan raya.

“Bila berlaku kemalangan, ‘group’ Whatsapp kampung tiba-tiba sunyi…Tiada pula nak bertanggungjawab,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

815
Kongsi :
Previous post SAYA TIDAK MAHU RAKYAT ‘TERBIASA’ DENGAN MASALAH
Next post PENDEKATAN TURUN PADANG, MASUK KAMPUNG BERJAYA SELESAI ISU TERTANGGUH