Sorting by

×

BUSANA TRADISIONAL JADI ‘TIKET PERCUMA’ NAIK MENARA TAMING SARI

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

BANDA HILIR 11 April – Dengan berbusana tradisional pada penganjuran Melaka Bila Larut Malam yang diadakan pada Sabtu minggu pertama setiap bulan, orang ramai mahupun pelancong dapat menikmati ‘tiket percuma’ menaiki Menara Taming Sari.

Ia merupakan antara inisiatif Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Pelancongan yang dicetuskan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam merancakkan lagi tarikan pelancongan di bumi bersejarah.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) Nur Azan Hassan berkata, sebagai antara produk pelancongan ikonik Negeri Melaka, pihaknya menyahut inisiatif tersebut yang bukan sahaja memberi nilai tambah dalam menarik kehadiran pelancong, bahkan pada masa sama melestari warisan budaya negeri.

Jelas beliau, menerusi inisiatif itu, ia membuka peluang kepada pengunjung yang lengkap berpakaian tradisional masyarakat berbilang kaum termasuk Melayu, Cina, India, Baba Nyonya dan lain-lain untuk menikmati panorama indah dari menara ikonik berkenaan tanpa dikenakan bayaran.

“Sejak diperkenalkan pada tahun ini, inisiatif ini mendapat sambutan apabila pada Melaka Bila Larut Malam Edisi Februari kita merekodkan seramai 45 pengunjung yang datang berpakaikan busana tradisional lengkap dan menikmati kemasukan percuma.

“Oleh itu, kita galakkan lebih ramai pengunjung untuk merebut peluang ini ia bukan sahaja untuk menikmati pengalaman menaiki menara secara percuma, tetapi juga sebagai usaha memelihara identiti budaya.

“Pendekatan ini secara tidak langsung dapat memperkenalkan keunikan busana tradisional kepada generasi muda dan pelancong antarabangsa, selain memastikan warisan berkenaan terus kekal relevan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Nur Azan, setiap kali penganjuran Melaka Bila Larut Malam, Menara Taming Sari merekodkan kehadiran pengunjung diantara 500 hingga 600 orang dan angka itu akan bertambah pada musim cuti.

“Pada musim cuti persekolahan dan cuti umum misalnya angka itu akan bertambah sehingga 800 orang berikutan pertambahan kehadiran pelancong.

“Dalam usaha membawa pelbagai tarikan baharu, Menara Taming Sari tidak melupakan aspek keselesaan pengunjung, khususnya golongan orang kurang upaya (OKU) apabila memastikan kemudahan yang disediakan adalah mesra dan mudah diakses,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

508
Kongsi :
Previous post FELDA HUTAN PERCHA MENAWAN DUNIA
Next post PASAR BESAR MELAKA SENTRAL LEBIH MODEN, BERKONSEP ‘RUMAH MELAKA’