
FELDA HUTAN PERCHA MENAWAN DUNIA
MACHAP JAYA 12 Mei – Kesepakatan kaum Melayu, Cina, India dan masyarakat Orang Asli menjadi resipi Felda Hutan Percha meraih pelbagai pengiktirafan serta anugerah sejak 2021.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Hutan Percha Nizam baharom berkata, diteroka sebagai penempatan tanah rancangan Felda kini muncul sebagai sebuah penempatan diwakili masyarakat majmuk semakin tersohor dengan pelbagai produk pelancongan selain dinamik daripada segi ekonomi.
Katanya, secara keseluruhan penempatan itu menjadi rumah buat 285 peneroka Felda dan 135 masyarakat Orang Asli yang diwakili oleh 37 ketua keluarga.
Menurutnya, pengiktirafan yang diterima adalah cerminan kepada kesepakatan, kesungguhan serta komitmen semua penduduk dalam menjayakan setiap agenda.
“Antara pengiktirafan diterima Felda Hutan Percha adalah Johan Pertandingan Landskap Kebangsaan 2025 bagi kategori kampung tradisional, Anugerah Desa Madani Negeri Melaka dan banyak lagi.
“Alhamdulillah JPKK Hutan Percha juga dicalonkan bagi Anugerah ASEAN Comunity Based Tourism (CBT) 2027-2029 dan tuan rumah bagi penganjuran program bertaraf antarabangsa iaitu African-Asian Rural Development Organization (AARDO),” katanya kepada Melaka Hari ini.
Sementara itu mengulas mengenai aktiviti ekonomi Nizam berkata, secara asasnya penduduk tempatan mengusahakan tanaman kontan, sawit dan getah sebagai punca pendapatan utama.
Namun, sejak 2021 barisan JPKK agresif meneroka produk baharu khususnya berkaitan pelancongan untuk menggamit lebih ramai pengunjung termasuk dari luar negara.
“Contoh kita ada Bukit Percha, inap desa dan persekitaran penempatan ini yang amat menarik untuk dilawati, satu lagi produk kebanggan kami adalah Batik Melaka yang sudah dipasarkan hingga ke peringkat antarabangsa.
“Bagi memperkasakan lagi aktiviti ekonomi kami menerusi koperasi mengoperasikan sebuah stesen minyak menjual petrol, diesel, barangan runcit dan paling utama memiliki mesin juruwang automatik (ATM) mesin deposit tunai (CDM) pertama dalam kawasan Machap Jaya.
“Keuntungan daripada semua aktiviti ekonomi ini bukan masuk kocek sendiri tetapi dikembalikan semula kepada komuniti bagi membiayai majlis keraianan, sumbangan kepada mereka yang kurang sihat dan menghargai pelajar cemerlang dalam peperiksaan,” katanya.
Sesuai dengan konsep Kampung Digital, Nizam berkata Hutan Percha juga memiliki sistem kod QR sendiri yang boleh diimbas bagi mendapatkan maklumat secara terperinci mengenai lokasi kediaman penduduk mengikut alamat, perkhidmatan ekonomi, kemudahan awam ada di penempatan itu.
“Aplikasi ini dibangunkan oleh belia Hutan Percha, ia menjadi panduan lengkap kepada semua termasuk penghantar barangan baru pertama kali ke sini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


