
MPAG PROMOSI PULAU SEBANG SENTRAL SEBAGAI TERMINAL PENGANGKUTAN BERSEPADU
GADEK 11 Mei – Lebih 300 peserta hadir memeriahkan acara ‘fun walk’ bersempena Festival Komuniti Lestari Alor Gajah 2026 yang berlangsung di Pulau Sebang Sentral, di sini, pada Sabtu.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, penganjuran itu adalah antara langkah berterusan dilaksanakan pihak bagi mempromosikan Pulau Sebang Sentral sebagai terminal pengangkutan awam bersepadu terbaharu di Alor Gajah.
“Apabila kita anjurkan program seumpama ini, orang ramai akan lebih peka dengan kewujudan Pulau Sebang Sentral, diharapkan lebih ramai memanfaatkan kemudahan awam terbaharu yang disediakan, sekali gus menghidupkan lagi kawasan ini.
“Selain Pulau Sebang Sentral, ada dua lagi kemudahan terminal pengangkutan awam beroperasi di daerah ini iaitu Masjid Tanah Sentral dan Alor Gajah Sentral,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu program itu dirasmikan oleh Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Hadir sama Ketua Whip MPAG Clr. Fadzil Abdul Rahim; Setiausaha MPAG Radzyma Mahat, Ahli-Ahli Majlis, ketua-ketua jabatan MPAG dan komuniti setempat.
Bersempena program itu turut berlangsung aktiviti gotong-royong, program kitar semula melibatkan e-waste dan fabrik, pertandingan mewarna kanak-kanak dan tidak ketinggalan kaunter khidmat pelanggan MPAG.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


