Sorting by

×

HAJI HASSIM ‘BAPA PERPADUAN’ MACHAP JAYA

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

MACHAP JAYA 14 Mei – Peranannya menyatukan masyarakat berbilang kaum menjadikan Hassim Dollah antara figura penting dalam memperkukuh keharmonian khususnya di Kampung Tebong Stesen.

Berusia 76 tahun bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) itu berkata, kehidupan dalam komuniti majmuk menuntut setiap individu untuk saling bergaul tanpa mengira latar belakang.

“Di kampung ini misalnya semua kaum tidak kira orang Melayu, India, Cina mahupun masyarakat Orang Asli saya berkawan dan santuni mereka seperti seorang rakan.

“Malah sebagai pemimpin setempat kita tidak boleh pilih kasih apabila penduduk tidak kira bangsa ditimpa masalah selaku yang bertanggungjawab saya akan cuba bantu selesaikan.

“Bagi saya, hidup dalam bermasyarakat memerlukan keharmonian dan kesefahaman agar hubungan antara kaum sentiasa terpelihara selain komuniti dapat terus hidup dengan aman serta bersatu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebelum ini Hassim berkata, beliau lebih mengutamakan pendekatan berkawan berbanding bermusuhan dalam menangani sebarang isu komuniti.

“Sepanjang kira-kira 15 tahun berkhidmat sebagai Pengerusi JPKK pastinya pelbagai cabaran yang ditempuh namun begitu bagi saya sekiranya ada individu yang mungkin kurang menyukai, kita tetap perlu melayani mereka dengan adil seperti orang lain.

“Malah sekiranya ada perkara berbangkit atau isu diketengahkan saya akan tampil ke hadapan tanpa mengira mereka yang terlibat datangnya daripada kaum sama ada Cina, India mahupun masyarakat Orang Asli.

“Kerana bagi saya, perpaduan bukan sekadar slogan tetapi perlu diamalkan dalam kehidupan seharian dan menjadi teladan kepada generasi muda,” katanya.

Ikon perpaduan
HAJI HASSIM

Menurut bapa kepada tiga anak itu, meskipun sudah tidak lagi bergelar Pengerusi JPKK, namun dia masih bergerak aktif dalam komuniti setempat selain menjadi tempat rujukan kepada penduduk kampung yang berdepan dengan sebarang perkara.

“Keharmonian, keamanan, kemakmuran dan perpaduan merupakan perkara yang tidak boleh dibeli sebaliknya perlu dipupuk bersama-sama dalam kalangan penduduk.

“Perlu ingat kita hidup dalam masyarakat majmuk justeru itu kita tidak boleh mengasingkan diri sebaliknya perlu bergaul dan tidak sombong walaupun dengan kaum yang berbeza,” katanya.

Jelasnya, dipilih sebagai Ikon Perpaduan sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya satu penghargaan bermakna buat dirinya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

353
Kongsi :
Previous post MURAL HARMONI IDENTITI BAHARU TAMAN SERI DUYONG
Next post HARGA RUMAH MELAKA KEKAL TERENDAH DI MALAYSIA