Sorting by

×

WRUR TELOK MAS: NELAYAN HARGAI KEPRIHATINAN TOK AJAK

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

TELOK MAS 16 Jun – Kehidupan sebagai nelayan yang bergantung kepada hasil laut dan cuaca tidak menentu menjadikan setiap bentuk bantuan amat bermakna buat komuniti itu.

Bagi nelayan Kampung Alai, Zakariah Kalil, 68, keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman atau lebih mesra disapa ‘Tok Ajak’ terhadap kebajikan nelayan setempat wajar dihargai.

Menurutnya, sumbangan yang diberikan bukan sahaja membantu meringankan beban, malah membuktikan golongan nelayan tidak pernah dipinggirkan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Tok Ajak kerana sentiasa menyanjung dan mengambil berat kebajikan nelayan di kawasan ini. Apa sahaja bantuan yang diberikan memang kami hargai dan sangat berpuas hati dengan keprihatinan beliau.

“Saya baru enam tahun menjadi nelayan, sebelum ini saya bekerja sebagai pemandu bas dan lori tetapi akhirnya memilih kehidupan di laut kerana lebih seronok dan memberi kepuasan kepada saya.

“Kadang-kadang susah juga hendak berjumpa pemimpin kerana masing-masing sibuk. Jadi bila ada program seperti ini, rakyat dapat bertemu dan menyampaikan pandangan secara terus,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada Majlis Ramah Mesra Nelayan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Telok Mas di Japerun Telok Mas, di sini, semalam.

Sementara itu, Abdul Khalid Mohd Zin, 72, nelayan dari Padang Temu turut melahirkan rasa syukur apabila menerima sumbangan yang disifatkan amat bermakna.

Menurutnya, selepas lebih empat dekad mencari rezeki di laut, kehidupan nelayan masih berdepan cabaran terutama apabila hasil tangkapan tidak menentu.

“Alhamdulillah, saya gembira menerima sumbangan ini. Terima kasih kepada Tok Ajak yang sentiasa ingat nelayan di kawasan Telok Mas.

“Saya mula menjadi nelayan sejak berusia 29 tahun dan sehingga sekarang masih bergantung kepada pekerjaan ini, jadi bantuan seperti ini sedikit sebanyak dapat membantu,” katanya.

Mazlan Othman, 44, nelayan dari Kampung Alai pula berpandangan program seumpamanya bukan sahaja membantu dari segi kewangan malah memberi suntikan semangat kepada komuniti nelayan.

Katanya, pendapatan nelayan pesisir pantai yang bergantung kepada hasil tangkapan udang sering terjejas terutama ketika cuaca buruk.

“Program WRUR ini sangat baik kerana dapat merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat. Bila ada ruang seperti ini, rakyat seperti kami rasa lebih dihargai dan didengari,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1181
Kongsi :
Previous post WRUR TELOK MAS: 4 TOKONG TERIMA BANTUAN UTILITI SEJAK 2021