Sorting by

×

WRUR TELOK MAS: 4 TOKONG TERIMA BANTUAN UTILITI SEJAK 2021

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

TELOK MAS 16 Jun – Empat tokong dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas menerima bantuan pembayaran utiliti sejak tahun 2021 sebagai sebahagian usaha berterusan membantu persatuan pengurusan rumah ibadat menjalankan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan dengan lebih lancar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, bantuan tersebut diberikan tanpa mengira kaum dan agama, selaras dengan prinsip kebersamaan serta keharmonian yang sentiasa menjadi amalan masyarakat di kawasan berkenaan.

Beliau yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata, inisiatif itu juga melambangkan sokongan kepada rumah-rumah ibadat yang memainkan peranan penting dalam menyatukan komuniti setempat.

“Tokong Cheng Wah Keong antara empat tokong yang dibantu pembayaran utiliti bulanan sejak tahun 2021 lagi yang mana usaha ini adalah atas dasar tanggungjawab kepada masyarakat dan penduduk setempat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Malam Lestari Warisan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Telok Mas di Tokong Cheng Wah Keong, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Nasrul Ahmad; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Erne Hamsah; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Sdn Bhd, Nur Azan Hassan serta kenamaan lain.

Majlis berkenaan telah menghimpunkan lebih 600 penduduk berbangsa Cina dan India, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian yang terus utuh dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di DUN Telok Mas.

Pada majlis sama turut diadakan sambutan ulang tahun kelahiran ke-53 Abdul Razak yang jatuh pada tanggal 14 Jun.

Lebih istimewa, beliau menerima hadiah berupa sebuah dacing berusia 55 tahun yang disampaikan wakil persatuan-persatuan tokong di DUN Telok Mas sebagai tanda penghargaan dan simbol hubungan erat antara pemimpin dan masyarakat setempat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

635
Kongsi :
Previous post TIADA LAGI ‘DONUT’, ‘LINE SIPUT’ DI TAMAN SERI JERAM
Next post WRUR TELOK MAS: NELAYAN HARGAI KEPRIHATINAN TOK AJAK