Sorting by

×

KISAH IBU MITHALI, TOKOH DAKWAH JADI TUMPUAN SAMBUTAN MAAL HIJRAH MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

TELOK MAS 17 Jun – Pengorbanan, ketabahan dan sumbangan dua tokoh berbeza latar belakang menjadi tumpuan apabila mereka dinobatkan sebagai penerima anugerah sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Melaka.

Bagi Maimunah Sulaiman, 76, dari Tanjung Kling, perjalanan hidup sebagai ibu tunggal selama 30 tahun bukanlah satu kisah yang mudah.

IMG 20260617 WA0002
MAIMUNAH.

Namun, sebalik cabaran membesarkan lima anak seorang diri, beliau berjaya membuktikan bahawa kasih sayang dan keteguhan hati mampu membina kejayaan sebuah keluarga.

Menerima gelaran Anugerah Tokoh Ibu Inspirasi (Fatimah Az-Zahra), Maimunah berkata kehidupannya banyak diisi dengan aktiviti kemasyarakatan, politik kampung serta kerja-kerja keagamaan termasuk mengajar al-Quran sejak lebih dua dekad lalu.

“Biasa lah ibu tunggal ini bukan senang. Tapi Alhamdulillah saya isi masa dengan program mengaji, marhaban dan aktiviti kampung.

“Sebagai suri rumah sepenuh masa fokus utama saya selepas kehilangan suami yang merupakan seorang pegawai tentera adalah memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik sehingga ke peringkat universiti.

“Saya pastikan mereka belajar dan tidak terjebak dengan perkara tidak baik. Alhamdulillah semua sudah berjaya,” katanya yang mempunyai empat anak lelaki dan seorang perempuan.

Terdahulu anugerah berkenaan telah disampaikan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026M ‘MADANI Dihayati Ummah Diberkati’ sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas di Masjid Al-Falihin, Kampung Alai, semalam.

IMG 20260617 WA0003
ABDUL RAHIM.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Datuk Abdul Rahim Abdul Chalik Al-Hafiz, 75, dari Taman Peringgit Jaya, turut mengharumkan nama negeri menerusi sumbangan besar dalam bidang dakwah dan pendidikan al-Quran lebih empat dekad.

Beliau yang menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah (Abu Bakar As-Siddiq) berkata pengiktirafan itu bukan untuk dirinya seorang, sebaliknya untuk semua pendakwah dan tenaga pengajar al-Quran.

“Ini semua anugerah Allah. Saya bersyukur kepada Kerajaan Negeri dan berharap ia menjadi dorongan untuk terus berdakwah,” katanya.

Sepanjang kerjayanya, beliau pernah berkhidmat sebagai guru takmir, hakim tilawah dan hafazan peringkat negeri serta duta khas pendakwah Arab Saudi, selain aktif menulis khutbah Jumaat.

Beliau turut menasihatkan generasi muda agar sentiasa takut kepada Allah dan menjadikan ilmu sebagai panduan hidup.

“Takut kepada Allah itu bermaksud melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Itu pesan paling penting,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

672
Kongsi :
Previous post LEBIH 100,000 RAKYAT MELAKA NIKMATI MANFAAT INISIATIF KEBAJIKAN NEGERI
Next post ILMU KEIBUBAPAAN PANDUAN PENTING BUAT BAKAL IBU