Sorting by

×

BULATAN PALING SIBUK DI MELAKA KINI LANCAR

Masa Membaca:4 Minit, 59 Saat

KESIDANG 23 Jun – Keputusan berani memansuhkan penggunaan lampu isyarat di Bulatan Malim Jaya terbukti menjadi titik perubahan kepada penyelesaian masalah kesesakan trafik yang sekian lama membelenggu kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang, Seah Shoo Chin berkata, Bulatan Malim Jaya sebelum ini dikenal pasti sebagai antara persimpangan paling sibuk di Melaka dengan lebih 14,000 kenderaan keluar masuk setiap hari pada waktu puncak.

Menurut beliau, hasil kajian yang dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati bulatan tersebut menjadi laluan utama yang menghubungkan beberapa kawasan penting termasuk Cheng, Pulau Gadong, Bachang, Pandan Malim, Pokok Mangga dan kawasan perindustrian sekitar.

“Pada waktu puncak pagi dan petang, kesesakan di Bulatan Malim Jaya sangat teruk sehingga ada pengguna jalan raya terpaksa menunggu tiga hingga empat kali lampu isyarat sebelum dapat melepasi persimpangan itu.

“Malah pada hari Jumaat, ketika berlangsungnya pasar malam terbesar di Melaka, keadaan menjadi lebih sesak kerana kehadiran ribuan pengunjung.

“Keadaan itu menyebabkan ramai pengguna jalan raya cuba mengelakkan laluan tersebut walaupun ia merupakan laluan paling dekat ke destinasi masing-masing,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.

Menurut Allex, persoalan yang sering bermain di fikirannya ketika itu adalah mengapa sebuah bulatan masih memerlukan sistem lampu isyarat hingga menyebabkan aliran trafik menjadi lebih perlahan.

Atas faktor itu, beliau berpandangan perlunya satu kajian dan siasatan untuk mengenal pasti benarkan kesesakan itu berpunca daripada lampu isyarat atau disebabkan faktor lain.

Beliau memaklumkan, percubaan pertama dilakukan pada tahun 2023 dengan mematikan lampu isyarat pada waktu paling sibuk iaitu petang Jumaat.

Bagaimanapun, percubaan itu tidak berjaya apabila kesesakan menjadi lebih teruk selepas kira-kira 30 minit pelaksanaannya.

“Ketika itu saya berada di Batam atas urusan kerja dan menerima panggilan daripada pegawai yang memaklumkan keadaan trafik menjadi lumpuh. Kita terpaksa menghidupkan semula lampu isyarat kerana aliran trafik tidak dapat bergerak,” katanya.

Namun beliau tidak berputus asa dan percaya kaedah itu masih mempunyai potensi jika diuji dalam keadaan yang lebih sesuai.

Peluang tersebut hadir apabila berlaku gangguan bekalan elektrik pada tahun lalu yang menyebabkan lampu isyarat di Bulatan Malim Jaya tidak berfungsi.

“Sebelum bekalan elektrik dipulihkan, saya meminta supaya lampu isyarat itu tidak diaktifkan semula serta-merta. Kita jadikan situasi itu sebagai satu ujian sebenar untuk melihat bagaimana aliran trafik bergerak tanpa lampu isyarat,” katanya.

Menurut beliau, pemantauan dilakukan secara berterusan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta pegawai berkaitan bermula dari tengah hari sehingga waktu puncak di sebelah petang.

“Hasilnya amat mengejutkan. Trafik kekal lancar walaupun memasuki waktu puncak dan kehadiran pengunjung ke pasar malam.

“Kita terus memantau sehingga minggu berikutnya termasuk pada waktu puncak dan mendapati keadaan masih terkawal,” katanya.

Susulan kejayaan tersebut, keputusan dibuat untuk tidak mengaktifkan semula lampu isyarat berkenaan dan pelaksanaan itu diteruskan sehingga hari ini.

Allex berkata, kesannya bukan sahaja mengurangkan kesesakan, malah membantu meningkatkan pergerakan ekonomi di kawasan sekitar.

“Dulu ramai pengguna jalan raya cuba mengelakkan Bulatan Malim Jaya kerana terlalu sesak. Sekarang laluan itu menjadi pilihan utama kerana lebih cepat dan lancar untuk ke pelbagai destinasi,” katanya.

Beliau berkata, perubahan itu turut memberi manfaat kepada kawasan perindustrian, premis perniagaan dan kawasan perumahan yang bergantung kepada laluan tersebut setiap hari.

Malah katanya, aplikasi navigasi seperti Google Maps kini lebih kerap mencadangkan pengguna melalui Bulatan Malim Jaya kerana aliran trafik yang lebih lancar berbanding laluan alternatif lain.

“Bila trafik lancar, masa perjalanan menjadi lebih singkat, produktiviti meningkat dan aktiviti ekonomi turut mendapat manfaat.

“Ini membuktikan kadangkala penyelesaian kepada sesuatu masalah memerlukan keberanian untuk mencuba pendekatan baharu dan membuat keputusan berdasarkan keadaan sebenar di lapangan,” katanya.

TAMBAH BAIK PERSIMPANGAN BERBAHAYA

Selain mengatasi isu kesesakan di bulatan, Allex turut memberi perhatian serius kepada isu kemalangan yang kerap berlaku di beberapa persimpangan, antaranya di Malim Jaya dan Pokok Mangga.

Katanya, risiko kemalangan yang tinggi, selain pernah mengakibatkan kemalangan maut membuatkan tampil mencari satu jalan penyelesaian terbaik dalam melakukan perubahan membabitkan aspek keselamatan jalan raya bersama agensi berkaitan.

Katanya, sebelum sesuatu keputusan dibuat, kajian terperinci dilakukan dengan turun sendiri ke lokasi, memahami keadaan sebenar serta mendapatkan pandangan pengguna jalan raya dan penduduk setempat.

“Mengambil contoh di Malim Jaya, kita telah membuat beberapa perubahan termasuk menutup dan membuka semula persimpangan tertentu bagi meningkatkan tahap keselamatan.

“Ada persimpangan yang kita laksanakan larangan membelok ke kanan (no right turn) dan ada juga yang hanya dibenarkan untuk kenderaan keluar sahaja. Semua keputusan ini dibuat selepas penelitian mendalam terhadap corak trafik dan risiko kemalangan yang berlaku,” katanya.

Selain Malim Jaya, Allex berkata, isu keselamatan jalan raya turut diberikan perhatian di Pokok Mangga susulan pembangunan pesat kawasan perumahan termasuk projek PR1MA yang menempatkan lebih 1,000 kediaman.

Katanya, peningkatan jumlah penduduk dan kenderaan menyebabkan risiko kemalangan bertambah, sekali gus mendorong pembinaan lampu isyarat di persimpangan utama kawasan itu.

“Lampu isyarat yang dipasang telah membantu mengurangkan risiko kemalangan, namun kita masih perlu mencari penyelesaian lebih baik untuk melancarkan aliran trafik kerana jumlah kenderaan semakin meningkat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan beberapa cadangan penambahbaikan sedang dirancang termasuk pembinaan bulatan (roundabout) di kawasan berhampiran Sekolah Kebangsaan Batu Berendam dan beberapa persimpangan lain yang dikenal pasti mengalami kesesakan serta berisiko tinggi.

“Kita akan terus menilai keperluan di setiap lokasi supaya aspek keselamatan dan kelancaran trafik dapat dipertingkatkan demi keselesaan penduduk,” katanya.

ELEVATED U-TURN

Dalam pada itu, Allex turut berkongsi, perkembangan projek ‘elevated U-turn’ atau pusingan U bertingkat yang akan dibina di persimpangan Pulau Gadong an Cheng Heights dan dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat tahun lagi.

Katanya, projek infrastruktur itu merupakan antara usaha jangka panjang bagi meningkatkan kelancaran aliran trafik di kawasan yang menjadi laluan utama ribuan pengguna jalan raya setiap hari.

Beliau berkata, projek tersebut akan melibatkan pembinaan laluan pusingan-U bertingkat yang menghubungkan kawasan Pulau Gadong dengan laluan berhampiran Cheng Heights bagi mengurangkan kebergantungan kepada persimpangan lampu isyarat sedia ada.

“Pelaksanaan projek ini akan memberi manfaat kepada penduduk sekitar Pulau Gadong, Cheng Heights, Malim Jaya dan kawasan berdekatan yang menggunakan laluan tersebut setiap hari.

“Selain meningkatkan kelancaran trafik, projek berkenaan turut dijangka menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat dengan memperbaiki akses ke kawasan perniagaan dan perindustrian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

613
Kongsi :
Previous post 59 MUALAF BAHARU DIREKODKAN DI MELAKA SETAKAT JUN
Next post RUMAH BAHARU HADIAH TERINDAH BUAT KHADIJAH