Sorting by

×

PEMBIAYAAN LEBIH RM92 JUTA DILULUSKAN DI MELAKA, 4,300 USAHAWAN DAPAT MANFAAT

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

KOTA LAKSAMANA 21 Jun – Lebih 4,300 usahawan di Negeri Melaka telah menerima manfaat pembiayaan berjumlah lebih RM92 juta setakat Januari hingga 31 Mei tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada peruntukan pembiayaan berjumlah RM5 bilion yang telah diluluskan di seluruh negara setakat lima bulan pertama 2026.

Jelas beliau, sepanjang tahun ini, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan penyaluran pembiayaan sebanyak RM15 bilion kepada perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) di seluruh negara menerusi inisiatif PowerUp10K.

“Melalui pembiayaan, kita membantu perniagaan rakyat Malaysia. Apabila perniagaan berkembang, manfaatnya bukan hanya dirasai oleh pemilik perniagaan, tetapi juga oleh pekerja, pembekal, dan komuniti setempat.

“Wang yang disalurkan kepada usahawan akan terus beredar dalam ekonomi negara. Sebab itu, kita mahu melihat lebih banyak pembiayaan sampai ke pasaran dan membantu menghebatkan perniagaan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) 2026 Edisi Melaka yang disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Morten Walk, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Allex Seah Shoo Chin bersama Timbalannya Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud serta lain-lain kenamaan.

Dalam siri lawatannya selama tiga hari ke Negeri Melaka, Steven telah menyantuni usahawan dan peniaga tempatan, antaranya Sesi Mega Meet And Greet bersama usahawan TEKUN di Malim Food Town yang menghimpunkan kira-kira 50 usahawan tempatan, selain turut menyampaikan hampir RM1 juta pembiayaan kepada 18 usahawan yang layak melalui TEKUN Nasional dan SME Corp.

Sepanjang tiga hari Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia berlangsung di Morten Walk, pelbagai pengisian menarik diadakan, antaranya sesi padanan perniagaan, konsultasi keusahawanan, Jualan MADANI KUSKOP, Borak Santai TikTok Shop dan jualan pelbagai produk usahawan tempatan.

Selain itu, turut diadakan Sembang Usahawan Selebriti yang menampilkan Datuk Seri Aliff Shukri, tayangan wayang pacak, konsert artis, Morten Berselawat, treasure hunt dan lain-lain lagi.

Pada masa sama, sembilan agensi di bawah KUSKOP turut hadir menyediakan pelbagai khidmat nasihat dan perkhidmatan sokongan keusahawanan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

342
Kongsi :
Previous post HARGA DIESEL BERSUBSIDI RM2.10 SELITER UNTUK RAKYAT MALAYSIA MULAI JULAI – PM ANWAR
Next post WRUR: LEBIH 300 PROGRAM DEKATI 134,000 RAKYAT JASIN