
WRUR: LEBIH 300 PROGRAM DEKATI 134,000 RAKYAT JASIN
RIM 21 Jun – Lebih 300 program bermanfaat untuk rakyat akan diadakan selama empat minggu Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) berkampung di Parlimen Jasin, bermula hari ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, WRUR siri ke-20 akan bermula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim bermula 21 hingga 27 Jun, diikuti DUN Serkam pada 28 Jun hingga 4 Julai.
Seterusnya, beliau berkata, ia akan bergerak ke DUN Sungai Rambai pada 5 hingga 11 Julai dan kemuncaknya di DUN Merlimau pada 12 hingga 18 Julai, manakala DUN Bemban telah terlebih dahulu diadakan lebih awal pada tahun lalu.
Jelas Ab Rauf, WRUR yang telah dilaksanakan secara berterusan bermula tahun lalu membawa misi mendekatkan pentadbiran Kerajaan Negeri dengan masyarakat, di mana untuk Parlimen Jasin, lebih 134,000 rakyat akan disantuni.
“Sepanjang empat minggu WRUR di Parlimen Jasin ini, dijangka lebih 300 program akan digerakkan melibatkan pelbagai pengisian yang dekat di hati rakyat.
“Ini merangkumi aspek kebajikan, pembangunan komuniti, pendidikan, belia, usahawan, hinggalah kepada penyelesaian isu-isu setempat.
“Visi kerajaan negeri daripada WRUR ini amat jelas, kita mahu setiap lapisan rakyat disantuni, setiap keperluan diberi perhatian dan paling utama tiada seorang pun yang tercicir daripada arus pembangunan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program WRUR Parlimen Jasin: Kampung Kita (DUN Rim) di Dataran Masjid At-Taqwa, Kampung Rim, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Adun Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abd Azis; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom serta lain-lain kenamaan.
Jelas Ketua Menteri, setakat ini, sebanyak 50 aduan telah diterima di dalam bagi Parlimen Jasin, di mana ia bukan sekadar angka atau data, sebaliknya menjadi 50 tanggungjawab yang mesti diberikan perhatian dan tindakan segera.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


