Sorting by

×

RUMAH BAHARU HADIAH TERINDAH BUAT KHADIJAH

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 23 Jun – Selepas lebih tujuh dekad menumpang teduh di rumah pusaka yang semakin uzur dan tidak selama untuk dihuni pasangan warga emas ini akhirnya dapat menikmati kehidupan lebih selesa di kediaman baharu mereka.

Kediaman baharu itu diterima Khadijah Hassan, 72, dibina menerusi Program Melaka Rumahku (PMR) iaitu inisiatif Kerajaan Negeri yang dilaksanakan Lembaga Perumahan Melaka (LPM) bagi membantu rakyat khususnya keluarga yang benar-benar memerlukan.

Khadijah berkata dia dan suami Saadun Mus, 70, bagaikan tidak percaya apabila impian memiliki rumah yang selamat dan sempurna akhirnya menjadi kenyataan selepas sekian lama hidup dalam kebimbangan.

Menurutnya, rumah pusaka yang didiaminya sejak kecil berada dalam keadaan sangat daif dengan keadaan siling yang semakin reput dan hanya menunggu masa untuk roboh.

“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat kerana pada usia 72 tahun ini akhirnya dapat merasa duduk di rumah baharu. Sebelum ini kami tinggal di rumah pusaka yang sudah terlalu lama dan semakin teruk keadaannya.

“Ada masanya kami takut kerana siling rumah sudah rosak dan seolah-olah boleh runtuh pada bila-bila masa. Memang tidak selesa tetapi itulah sahaja tempat kami berteduh selama ini,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Terdahulu Khadijah dan suami menerima replika kunci rumah mereka daripada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Jun 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri Melaka, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin selaku penganjur perhimpunan kali ini, Ketua-ketua Jabatan Negeri Melaka serta Persekutuan.

Khadijah berkata, kegembiraannya bertambah apabila rumah baharu yang terletak di Telok Mas itu siap pada April lalu, kira-kira seminggu sebelum sambutan Aidilfitri.

“Raya tahun ini sangat bermakna kerana kami dapat menyambutnya di rumah baharu. Anak-anak juga selalu datang menziarahi kami dan ada kalanya bermalam di sini.

“Saya sangat berterima kasih kepada Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri yang membantu rakyat seperti kami. Saya tidak sangka akan dapat rumah baharu pada usia begini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

592
Kongsi :
Previous post BULATAN PALING SIBUK DI MELAKA KINI LANCAR
Next post LPM SELESAI BINA 10 RUMAH TRANSIT