Sorting by

×

SISTEM E-TANAH 2.0: ERA BAHARU URUSAN TANAH MELAKA

Masa Membaca:3 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 23 Jun – Pentadbiran tanah Negeri Melaka bakal memasuki era baharu apabila Sistem e-Tanah 2.0 dijadual dilaksanakan sepenuhnya bermula Jun 2026, sekali gus memperkukuh agenda pendigitalan perkhidmatan Kerajaan Negeri.

Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Melaka, Datuk Noraini Tawel berkata, inisiatif ini adalah kerjasama tiga pihak (Tri-Party) melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) sebagai Kerajaan Persekutuan, PTG Melaka sebagai Kerajaan Negeri dan PTSB sebagai pembangun sistem yang dilantik Kerajaan Persekutuan.

Jelas beliau, pengenalan sistem itu juga sejajar dasar Kerajaan Persekutuan ke arah pendigitalan perkhidmatan awam serta aspirasi Melaka ke arah negeri digital.

Istimewanya, menurut beliau, dengan sistem terbaharu itu ia boleh diguna pakai orang awam bagi pelbagai urusan tanah secara dalam talian menerusi Portal Awam, sekali gus memudahkan rakyat Melaka.

“Ini merupakan satu pencapaian baharu yang akan memberikan kemudahan lebih menyeluruh kepada rakyat dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan PTG Melaka,” katanya ketika bersiaran di Podcast ‘Mana Lagi Melaka Ler’ bagi mempromosikan Sistem e-Tanah 2.0 Negeri Melaka.

PERKHIDMATAN UTAMA

Mengulas lanjut, Noraini menjelaskan, sistem tersebut menawarkan dua perkhidmatan utama kepada orang ramai iaitu Portal Awam dan Kaunter Bersepadu Setempat atau Single Point of Contact (SPOC).

Katanya, Portal Awam membolehkan pengguna melakukan semakan status permohonan, bayaran cukai tanah, permohonan pelbagai urusan tanah serta mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

“Pengguna hanya perlu mendaftar akaun Portal Awam secara percuma. Sekiranya menghadapi sebarang masalah, pasukan Helpdesk e-Tanah turut disediakan bagi membantu pengguna melalui telefon atau emel.

“Bagi mereka yang masih memerlukan bantuan secara fizikal, urusan juga boleh diselesaikan di Kaunter SPoC yang menghimpunkan semua perkhidmatan di satu kaunter tanpa perlu melalui pelbagai kaunter seperti sebelum ini,” katanya.

Selain itu, kata beliau, Kios Awam turut disediakan di pejabat tanah bagi membolehkan orang ramai mengakses perkhidmatan tanpa dikenakan sebarang caj sepanjang waktu operasi.

GAMBAR BARU (ganti gambar atas kanan)
KETUA Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi Sistem e-Tanah Secara Kerjasama Awam Swasta Bagi Negeri Melaka di Pejabat NRES Putrajaya pada 6 November 2024 yang lalu.

MODUL & URUSAN YANG KOMPREHENSIF

Menurut Noraini, Sistem e-Tanah 2.0 merangkumi 10 modul dan 206 jenis urusan yang boleh dilakukan rakyat dan pentadbir tanah, berbanding hanya lima modul yang ditawarkan secara dalam talian sebelum ini.

Beliau memaklumkan, antara perkhidmatan yang menjadi fokus utama Portal Awam adalah semakan maklumat tanah, bayaran cukai tanah serta permohonan sijil carian persendirian dan rasmi kerana ia merupakan urusan yang merekodkan transaksi tinggi setiap tahun.

“Portal ini diyakini mampu menjimatkan masa, mengurangkan kesesakan di kaunter dan memudahkan rakyat melakukan urusan tanpa perlu hadir ke pejabat tanah.

“Malah anak-anak yang berada di luar Melaka juga boleh membantu ibu bapa mereka menguruskan perkara berkaitan tanah melalui portal ini,” jelasnya.

URUS TADBIR YANG DINAMIK & KEMAMPANAN EKONOMI

Mengulas mengenai impak kepada pentadbiran negeri, Noraini berkata Sistem e-Tanah 2.0 akan mempercepatkan proses kerja, mengurangkan birokrasi serta memperkukuh tadbir urus tanah yang lebih telus dan sistematik.

Tambah beliau, sistem itu turut diintegrasikan dengan pelbagai sistem agensi kerajaan lain bagi memastikan ketepatan data, integriti maklumat serta keselamatan pengguna sentiasa terjamin.

“Keupayaan integrasi ini membolehkan maklumat disahkan dengan lebih pantas dan tepat tanpa berlaku ketirisan data, sekali gus meningkatkan kecekapan proses urusan tanah,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan Sistem e-Tanah 2.0 juga dijangka memberi impak positif kepada pembangunan sosioekonomi negeri apabila urusan tanah yang lebih cekap mampu menarik lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa.

“Pentadbiran tanah yang telus, sistematik dan pantas akan meningkatkan keyakinan pelabur serta merancakkan pembangunan tanah yang akhirnya membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat Melaka,” katanya.

Etanah
NORAINI (tengah), kenamaan dan peserta ketika Taklimat Pelaksanaan Sistem e-Tanah 2.0 (Kick-Off).

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat Melaka dapat bersama-sama menyokong pelaksanaan Sistem e-Tanah 2.0 demi memastikan pentadbiran tanah negeri terus relevan, moden dan memenuhi keperluan generasi masa hadapan.

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web PTG Negeri Melaka di https://ptg.melaka.gov.my/my.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

490
Kongsi :
Previous post SUKAN SAWAH KEMBALIKAN NOSTALGIA DI KAMPUNG BUKIT PIATU
Next post PERGADUHAN DI BEMBAN: DUA LELAKI PARAH, DUA LAGI DITAHAN