
PERGADUHAN DI BEMBAN: DUA LELAKI PARAH, DUA LAGI DITAHAN
BEMBAN 23 Jun – Dua lelaki parah selepas dipercayai dipukul dalam satu kejadian pergaduhan melibatkan beberapa individu lelaki di tepi jalan berhampiran sebuah perhentian bas di Jalan Gapam, Bemban, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Lee Robert berkata, laporan polis dibuat pada kira-kira jam 5.03 pagi selepas pengadu dimaklumkan anak lelakinya cedera dan tidak sedarkan diri akibat kejadian tersebut dan berada di Hospital Jasin.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati dalam kejadian pada jam 12.10 tengah malam itu, mangsa dipercayai terlibat dalam pergaduhan melibatkan dua kumpulan lelaki menggunakan tangan serta sebatang kayu sebagai senjata.
“Akibat kejadian itu, dua lelaki masing-masing berusia 21 dan 28 tahun mengalami kecederaan serius termasuk pendarahan dalam otak, patah tengkuk, selain patah pergelangan tangan kiri dan patah kaki kiri,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka dan dilaporkan masih tidak sedarkan diri.
Mengulas lanjut, Lee berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham yang berkait dengan seorang wanita sehingga mencetuskan pergaduhan antara kumpulan terbabit.
“Hasil siasatan dan maklumat awam mendapati berlaku pertengkaran sebelum insiden bertukar menjadi pergaduhan.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian turut berjaya merakam beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam insiden tersebut,” katanya.
Menurut beliau, pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian dan telah mengambil beberapa sampel bagi membantu siasatan.
“Polis menahan dua suspek namun masih mengesan beberapa suspek lagi yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata serta Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

