Sorting by

×

MALIM UPTOWN LUBUK REZEKI USAHAWAN

Masa Membaca:2 Minit, 16 Saat

KESIDANG 29 Jun – Pembukaan Malim Uptown bakal menjadi satu lagi platform penting dalam memperkasa golongan usahawan dan peniaga kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin berkata, sehingga kini lebih 80 usahawan telah mendaftar untuk menyertai Malim Uptown yang menyediakan ruang perniagaan kepada pelbagai kategori peniaga.

Menurut beliau, konsep yang diperkenalkan itu memberi peluang kepada usahawan pelbagai kaum dan latar belakang untuk menjana pendapatan menerusi jualan makanan, kraftangan serta pelbagai produk lain.

“Malim Uptown bukan sahaja menyediakan ruang kepada peniaga makanan, malah turut membuka peluang kepada pengusaha kraftangan dan pelbagai jenis perniagaan lain.

“Kita mahu mewujudkan sebuah lokasi yang mampu menjadi pusat ekonomi komuniti dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.

USAHAWAN PALING RAMAI DI MELAKA

Beliau berkata, Kesidang merupakan antara kawasan yang mempunyai jumlah usahawan yang ramai di Melaka, justeru pelbagai usaha terus dilaksanakan bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan.

Katanya, antara fokus utama adalah menyediakan platform kepada usahawan baharu untuk memulakan perniagaan tanpa memerlukan modal yang terlalu besar.

“Ramai usahawan muda mempunyai idea dan semangat untuk berniaga, tetapi mereka memerlukan ruang dan peluang untuk memulakan langkah pertama.

“Sebab itu kita sentiasa mencari lokasi yang sesuai bagi membolehkan mereka memulakan perniagaan dan membina pelanggan sendiri,” ujarnya.

Menurut Allex, antara sokongan yang diberikan adalah kepada anak muda yang mahu memulakan perniagaan berkonsep kafe santai berhampiran Bulatan Angkasa Nuri.

Selain itu, beliau berkata, kewujudan 10 pasar malam dan pasar pagi di Kesidang turut menjadi medan penting kepada peniaga kecil serta usahawan mikro menjana pendapatan.

“Pasar malam dan pasar pagi menjadi antara platform terbaik untuk mereka memulakan perniagaan secara kecil-kecilan sebelum berkembang ke tahap yang lebih tinggi.

“Kita mahu memastikan peluang mencari rezeki sentiasa tersedia kepada masyarakat setempat,” katanya.

BANTUAN, SOKONGAN USAHAWAN BAHARU

Dalam usaha membantu usahawan yang baru memulakan perniagaan, Shoo Chin berkata pihaknya turut menyediakan sokongan asas termasuk bantuan khemah kepada peniaga kecil yang memerlukan.

Menurut beliau, kemudahan tersebut sedikit sebanyak dapat mengurangkan kos permulaan perniagaan dan memberi motivasi kepada mereka untuk terus berusaha.

Pada masa sama, beliau menggalakkan usahawan memanfaatkan pelbagai program pembangunan keusahawanan yang disediakan kerajaan negeri dan agensi berkaitan.

“Kita sentiasa berkongsi maklumat mengenai bantuan, kursus, latihan dan program pembangunan usahawan yang disediakan oleh kerajaan.

“Usahawan perlu aktif menyertai taklimat serta kursus yang dianjurkan kerana banyak peluang bantuan dan pembiayaan disalurkan melalui program-program tersebut,” katanya.

Tambah beliau, usaha memperkasa usahawan akan terus menjadi antara agenda utama kerana sektor itu bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan rakyat, malah menjadi pemacu penting kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.

“Apabila lebih ramai usahawan berjaya, ekonomi komuniti akan menjadi lebih kukuh dan peluang pekerjaan juga akan terus bertambah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

592
Kongsi :
Previous post 30 PROGRAM RAKYAT GEGAR WRUR SERKAM
Next post LAMAN BROMELIAD TINGKAT IMEJ MELAKA SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN KREATIF, LESTARI