
30 PROGRAM RAKYAT GEGAR WRUR SERKAM
SERKAM 29 Jun – Sebanyak 30 program telah disusun sepanjang penganjuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam yang berlangsung selama seminggu bermula 28 Jun sehingga 4 Julai ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam Datuk Zaidi Attan berkata, berkata, pelbagai aktiviti dan program yang sarat pengisian telah dirangka melibatkan segenap lapisan masyarakat di kawasan itu.
Beliau bagaimanapun menjelaskan, pelaksanaan WRUR di Serkam sebenarnya telah bermula lebih awal menerusi program pra-WRUR pada Ogos tahun lalu.
“Pendekatan kita laksana Pra-WRUR DUN Serkam dibuat bagi membolehkan keperluan rakyat dikenal pasti lebih awal sebelum pelaksanaan rasmi WRUR DUN Serkam pada minggu ini.
“Sepanjang WRUR DUN Serkam ini kita susun 30 program bermula dengan Neon Walk, program sukan, perasmian fasiliti komuniti, Hari Aduan Rakyat, Malam Pendekar, Festival Pantai Siring, perasmian masjid serta pelbagai lagi program bersama agensi-agensi terlibat.
“Kita sudah turun ke setiap Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sejak tahun lalu bagi menyusun program yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Fasiliti Komuniti sempena WRUR DUN Serkam yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sini, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom; Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Zaidi yang juga Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata, antara program yang diberi tumpuan ialah Hari Aduan Rakyat dan Festival Pantai Siring yang dilaksanakan sebagai penutup tirai WRUR DUN Serkam.
“Program-program kita rangka ini bukan sekadar mengumpulkan orang ramai, sebaliknya kita mahu menyelesaikan masalah rakyat dan membuktikan bahawa Melaka benar-benar sayang rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


