Sorting by

×

PESANAN TOK RAUF JADI AZIMAT BERMAKNA BUAT ANAK MUDA MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

MERLIMAU 29 Jun – Pesanan dan amanat yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kepada peserta Program Permata Anak Melaka (PAMA) disifatkan sebagai suntikan semangat serta azimat berharga buat golongan pelajar dalam menghadapi cabaran pendidikan dan kehidupan pada masa hadapan.

Bagi peserta program, Muhammad Amsyar Ani Hamzah, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Dol Said, Alor Gajah, kata-kata semangat daripada pemimpin nombor satu negeri itu memberi motivasi kepada pelajar dalam mencapai kecemerlangan bukan sahaja untuk diri sendiri dan keluarga, bahkan untuk negeri serta negara.

“Bagi saya, pesanan dan inspirasi yang diberikan Ketua Menteri ini menjadi satu dorongan yang sangat bermakna kepada generasi muda hari ini.

“Jelaslah, beliau sebagai pemimpin benar-benar ikhlas mahu melihat anak Melaka berjaya dalam pendidikan, menjadi insan berilmu dan seterusnya mampu mengangkat nama Melaka serta Malaysia pada masa hadapan.

“Pesanan itu memberi kesedaran kepada kami bahawa generasi muda adalah pencorak masa depan dan oleh itu kami perlu bersedia dari sekarang,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas perasmian Program Permata Anak Melaka (PAMA) dan Program Tuisyen Matematik Tambahan Permata TYT (PROMAT) yang disempurnakan Ketua Menteri di Pusat Kokurikulum Negeri Melaka, Jalan Seri Lancang, di sini, semalam.

Menurut calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 itu, PAMA bukan sekadar sebuah program motivasi, malah turut membuka peluang untuk mengenali rakan-rakan baharu, di samping membantu peserta membina keberanian dan keyakinan dalam kalangan peserta.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Notre Dame Convent Yong Zi Leng, 17, turut memuji usaha Kerajaan Negeri dalam menganjurkan pelbagai program kecemerlangan akademik dan sahsiah bagi membantu pelajar, khususnya mereka yang bakal menduduki peperiksaan SPM.

“Bagi saya, program seperti PAMA dan tuisyen Matematik Tambahan percuma yang disediakan ini amat membantu terutamanya kepada mereka yang berdepan kesukaran dan tercicir dalam pelajaran.

“Terima kasih Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri, terima kasih juga kepada Yayasan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka kerana menganjurkan program yang amat bermanfaat seperti ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

467
Kongsi :
Previous post RENTAK PERAHU NAGA SERLAH MAGIS SUNGAI MELAKA
Next post 30 PROGRAM RAKYAT GEGAR WRUR SERKAM