Sorting by

×

1,000 PESERTA MERIAHKAN KARNIVAL CERIA SIMPAN SSPN

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

BANDARAYA MELAKA 28 Jun – Karnival Ceria Simpan SSPN (KCS) 2026 berlangsung dalam suasana meriah dengan penglibatan kira-kira 1,000 orang peserta khususnya kanak-kanak.

Pengarah Negeri Pejabat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Negeri Melaka, Mas Anisah Ayu Othman berkata program itu adalah kesinambungan kejayaan Karnival Anak Warisan Simpan SSPN (KAWAN) dianjurkan sebelum ini.

Katanya, objektif penganjuran itu adalah untuk memperluas dan meningkatkan lagi tahap kesedaran umum mengenai kepentingan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Mas Anisah Ayu berkata bertemakan ‘Ceria Menyimpan Bersama Simpan SSPN’ karnival itu dianjurkan serentak di 14 negeri termasuk Melaka dan turut mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Negeri Melaka dan rakan kolaborasi lain.

“Menerusi KCS 2026 ini pelbagai aktiviti menarik diadakan iaitu Pertandingan Teater Pendek Simpan SSPN yang disertai tujuh buah sekolah rendah yang menyertai Modul Kelab Simpanan Pendidikan (KSP) dan pertandingan mewarna.

“Pertandingan mewarna yang melibatkan peserta dari umur empat hingga 12 tahun merekodkan penyertaan seramai 250 orang malah turut berlangsung perkongsian motivasi keibubapaan yang disampaikan oleh ‘parental coach’,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada karnival itu yang berlangsung di sebuah pusat beli-belah, di sini, semalam.

IMG 20260627 WA0005
MAS Anisah Ayu (dua dari kiri) bersama pemenang pertandingan mewarna KCS 2026

Menurut Mas Anisah Ayu, penganjuran karnival itu juga memberi peluang kepada ibu bapa khususnya mempraktikkan amalan menabung sambil menyertai aktiviti disediakan selain mendapatkan maklumat tentang bayaran balik pinjamam PTPTN.

“Di pihak PTPTN, kami berharap lebih ramai ibu bapa membuka akaun Simpan SSPN kerana selain sebagai persediaan kewangan bagi pendidikan ia turut menawarkan manfaat perlindungan takaful percuma secara Ringgit ke Ringgit kepada pendeposit sekiranya berlaku kematian/ilat kekal menyeluruh.

“Selain itu turut ditawarkan Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak justeru itu. Simpanan ini bukan sahaja membantu menyediakan dana pendidikan masa hadapan malah menawarkan pelbagai manfaat,” katanya.

IMG 20260627 WA0006
SK Perempuan Durian Daun, Johan Pertandingan Teater Pendek Simpan SSPN. Foto Ihsan/PTPTN Melaka

Jelasnya, PTPTN Negeri Melaka akan terus mempergiat usaha mempromosikan Simpan SSPN menerusi pelbagai inisiatif termasuk pelaksanaan program berskala kecil atau pocket program bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan tabungan pendidikan.

Terdahulu, bagi Pertandingan Teater Pendek Simpan SSPN Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Durian Daun diumumkan sebagai johan manakala naib johan pula SK Bertam Hulu dan ketiga SK Semabok.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

336
Kongsi :
Previous post MELAKA PERUNTUK RM4.41 JUTA PERKASA PROGRAM PEMULIHAN OKU
Next post INDUSTRI NANAS MELAKA TERUS BERKEMBANG