Sorting by

×

INDUSTRI NANAS MELAKA TERUS BERKEMBANG

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BANDA HILIR 28 Jun – Industri nanas di Melaka terus mencatat perkembangan memberangsangkan apabila keluasan tanaman komoditi itu meningkat lebih 142 peratus dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, sekali gus membuktikan potensinya sebagai antara sektor pertanian yang semakin mendapat perhatian.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, sehingga kini Melaka mempunyai seramai 197 usahawan nanas yang berdaftar dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), melibatkan keluasan tanaman seluas 125.70 hektar.

Menurut beliau, peningkatan tersebut mencerminkan keyakinan pengusaha terhadap potensi industri nanas yang bukan sahaja mampu menjana pendapatan menerusi pengeluaran buah segar, malah membuka peluang dalam pelbagai rantaian nilai industri.

“Perkembangan ini membuktikan industri nanas di Melaka mempunyai potensi besar untuk terus berkembang bukan sahaja melalui pengeluaran buah segar, malah merangkumi industri asas tani, pemprosesan makanan, eksport serta sektor agropelancongan.

“Kerajaan Negeri Melaka amat mengalu-alukan kerjasama erat bersama LPNM dalam usaha memperkasakan usahawan tempatan, khususnya golongan belia dan komuniti desa supaya industri nanas dapat menjadi antara sumber ekonomi baharu yang mampan dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Laman Bromeliad LPNM-MBMB dan Penyerahan Kunci Pejabat LPNM Negeri Melaka di Taman Bunga Merdeka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairuzamri M. Salleh; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman; Pengarah LPNM Negeri Sembilan/Melaka, Ary Putra Tajuddin serta ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.

Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal berkata, pembukaan Pejabat LPNM Negeri Melaka merupakan satu lagi langkah strategik dalam memperkukuh pembangunan industri nanas di negeri ini, sekali gus memudahkan penyampaian perkhidmatan kepada usahawan dan bakal pengusaha.

“Saya percaya dengan adanya Laman Bromeliad sebagai ikon baharu pelancongan dan Pejabat LPNM Negeri Melaka sebagai pusat penyampaian perkhidmatan, Melaka mampu menjadi contoh terbaik bagaimana sektor pertanian dapat diintegrasikan dengan pelancongan serta ekonomi kreatif,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

471
Kongsi :
Previous post 1,000 PESERTA MERIAHKAN KARNIVAL CERIA SIMPAN SSPN