Sorting by

×

PERLUMBAAN PERAHU NAGA ANGKAT SUNGAI MELAKA DESTINASI BERPRESTIJ SUKAN AIR

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDA HILIR 28 Jun – Sungai Melaka terus membuktikan keupayaannya sebagai destinasi berprestij acara sukan air bertaraf antarabangsa apabila berjaya menganjurkan Perlumbaan Perahu Naga Melaka 2026.

Acara berprestij yang berlangsung selama dua hari itu telah menarik penyertaan lebih 115 pasukan dari dalam dan luar negara, termasuk Australia, Brunei Darussalam, Singapura dan Filipina selain penyertaan pasukan dari seluruh negara.

Perbadanan Pembangunan Sungai Dan Pantai Melaka (PPSPM) memaklumkan, acara itu bukan sekadar platform pertandingan sukan air, malah menjadi simbol semangat perpaduan, kerjasama berpasukan serta ketahanan fizikal dan mental dalam kalangan peserta.

Kata PPSPM, penganjuran berterusan acara tersebut turut memperkukuhkan kedudukan Sungai Melaka sebagai lokasi pelancongan, rekreasi, kebudayaan dan penganjuran acara berimpak tinggi di peringkat nasional serta antarabangsa.

“Acara ini memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat menerusi peningkatan kehadiran pelancong selain membantu mempromosikan Sungai Melaka sebagai produk pelancongan ikonik negeri.

“Ia juga selaras dengan usaha Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan sektor pelancongan berasaskan warisan, sukan dan budaya,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, majlis penutup pertandingan telah disempurnakan oleh Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem, hari ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin; Pengarah Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Produk PPSPM, Khairunnisa Ibno Masooda yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM serta lain-lain kenamaan.

Perlumbaan itu mempertandingkan sebanyak enam kategori iaitu 8 kilometer (km) Terbuka, 200 meter (m) Terbuka, 200m Wanita, 200m Campuran, 200m Terbuka Master dan 200m Korporat.

Acara tersebut merupakan hasil kerjasama Bahagian Promosi Pelancongan, Jabatan Ketua Menteri Melaka; Persatuan Perahu Naga Negeri Melaka dan PPSPM, selain turut mendapat sokongan pelbagai agensi termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

330
Kongsi :
Previous post INDUSTRI NANAS MELAKA TERUS BERKEMBANG
Next post RENTAK PERAHU NAGA SERLAH MAGIS SUNGAI MELAKA