Sorting by

×

PAMA: MELAKA PERKUKUH AGENDA PENDIDIKAN, BANTU PELAJAR TERCICIR

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

MERLIMAU 28 Jun – Kerajaan Melaka terus membuktikan komitmennya dalam memperkasa pendidikan apabila melaksanakan pelbagai program kecemerlangan dan pembangunan sahsiah bagi memastikan setiap anak di negeri ini mendapat peluang membina masa depan yang lebih baik.

Bukan sahaja memberi fokus kepada pelajar cemerlang dan berpotensi tinggi dalam akademik, malah Kerajaan Negeri turut menumpukan perhatian kepada golongan pelajar yang berdepan masalah pembelajaran serta berisiko tercicir menerusi pelaksanaan Program Permata Anak Melaka (PAMA).

Program di bawah kelolaan Yayasan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka itu melibatkan seramai 250 pelajar Tingkatan Lima dari seluruh negeri, di mana ia bertujuan meningkatkan motivasi serta kesedaran mengenai kepentingan pendidikan sebagai asas membina kehidupan yang lebih berjaya.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, program tersebut menjadi platform penting untuk membentuk pemikiran positif dan menyuntik semangat dalam kalangan peserta agar lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Menurut beliau, usaha memberi galakan dan motivasi kepada pelajar merupakan antara elemen penting dalam melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.

“PAMA merupakan sebuah kem motivasi bagi menyedarkan anak-anak ini tentang betapa pentingnya pendidikan asas sebagai bekalan menghadapi masa depan yang jauh lebih mencabar selepas ini.

“Saya telah menekankan supaya anak-anak ini faham dan mengambil semangat leluhur kita yang cukup hebat suatu ketika dahulu supaya ia dapat menjadi lonjakan motivasi untuk mereka melakar masa depan yang jauh lebih baik selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Permata Anak Melaka (PAMA) dan Program Tuisyen Matematik Tambahan Permata TYT (PROMAT) di Pusat Kokurikulum Negeri Melaka, Jalan Seri Lancang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Siti Faizah Abd Azis; Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pengurusan Sekolah yang menjalankan tugas Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Karim Tumin; Timbalan Pengerusi Yayasan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka Datuk Roslan Ahmad serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, PAMA dan PROMAT merupakan pelengkap kepada usaha Kerajaan Negeri memperkukuh agenda pendidikan di bawah gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka kerana telah menyalurkan dana berjumlah RM175,700 bagi menyokong pelaksanaan kedua-dua program tersebut.

“Kerajaan Negeri menyambut baik sepenuhnya pelaksanaan program seumpama ini sebagai sebahagian daripada komitmen bersama untuk memperkukuh agenda pendidikan negeri dan memastikan tiada anak Melaka tercicir daripada laluan masa depan,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

378
Kongsi :
Previous post KONSEP ‘GLAMPING’ BAKAL DIPERKENALKAN DI TASIK CHIN CHIN
Next post LAMAN BROMELIAD JADI TARIKAN PELANCONGAN BAHARU MELAKA