Sorting by

×

LAMAN BROMELIAD JADI TARIKAN PELANCONGAN BAHARU MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BANDA HILIR 28 Jun – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) menjalin kerjasama strategik menerusi pembangunan Laman Bromeliad di Taman Bunga Merdeka yang dijangka menjadi tarikan pelancongan serta lokasi fotografi baharu di Bandar Hilir.

Laman tersebut menampilkan sebanyak 415 pokok bromeliad pelbagai spesies, selain dihiasi arca kreatif berbentuk bromeliad dan replika nanas berbentuk hati yang berpotensi menjadi mercu tanda baharu untuk pengunjung merakam kenangan ketika berkunjung ke kawasan bersejarah itu.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pembangunan laman itu bukan sekadar memperindah landskap bandar, malah turut berpotensi memperkenalkan kepada masyarakat mengenai potensi nanas sebagai tanaman hiasan yang mempunyai nilai komersial tinggi.

Menurut beliau, masih ramai yang melihat nanas hanya sebagai tanaman makanan, sedangkan keluarga bromeliad mempunyai keunikan tersendiri dan mendapat permintaan yang memberangsangkan dalam industri landskap serta tanaman hiasan.

“Selama ini rakyat menganggap nanas hanya untuk dituai dan dimakan, tetapi sebenarnya terdapat nanas hiasan yang boleh dijadikan elemen landskap yang menarik.

“Kita membawa bromeliad ke tengah-tengah kawasan tumpuan pelancong di Bandar Hilir supaya lebih ramai masyarakat dan pelancong mengetahui bahawa nanas juga mempunyai nilai estetika yang tinggi selain nilai pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Laman Bromeliad LPNM-MBMB serta menyempurnakan majlis penyerahan kunci Pejabat LPNM Negeri Melaka di Taman Bunga Merdeka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairuzamri M. Salleh; Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman; Pengarah LPNM Negeri Sembilan/Melaka, Ary Putra Tajuddin; ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan serta tetamu jemputan.

Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal berkata, Laman Bromeliad turut berfungsi sebagai platform pendidikan kepada masyarakat mengenai kepelbagaian spesies bromeliad yang semakin mendapat perhatian dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Pada masa sama, usaha ini juga dapat membantu mempromosikan industri nanas negara dan membuka peluang kepada lebih ramai masyarakat untuk mengenali serta menceburi bidang tanaman hiasan berasaskan bromeliad,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

344
Kongsi :
Previous post PAMA: MELAKA PERKUKUH AGENDA PENDIDIKAN, BANTU PELAJAR TERCICIR
Next post SERKAM DUN PERTAMA DI MELAKA MILIKI LOKAR UBAT, PUSAT REHABILITASI KOMUNITI