Sorting by

×

SERKAM DUN PERTAMA DI MELAKA MILIKI LOKAR UBAT, PUSAT REHABILITASI KOMUNITI

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SERKAM 28 Jun – Serkam menjadi Dewan Undangan Negeri (DUN) pertama di negeri ini yang memiliki perkhidmatan Lokar Ubat menerusi Pusat Rehabilitasi dan Gimnasium Komuniti.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kemudahan itu memudahkan pesakit mendapatkan bekalan ubat tanpa perlu beratur di kaunter farmasi.

Katanya, lokar ubat itu membolehkan pesakit yang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Umbai dan Klinik Kesihatan Merlimau mengambil ubat mengikut tarikh janji temu yang ditetapkan.

“Langkah ini merupakan usaha Kerajaan Negeri memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap, responsif dan mesra rakyat, di mana ia diwujudkan khusus bagi membantu pesakit yang memerlukan rawatan susulan selepas menerima rawatan di hospital atau klinik.

“Kerajaan Negeri akan terus memperluaskan penyediaan fasiliti seumpama itu selaras dengan hasrat membawa perkhidmatan kerajaan lebih dekat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Fasiliti Komuniti sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem dan Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam Datuk Zaidi Attan.

Turut hadir, Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom; Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin serta kenamaan lain.

Menurut Ab Rauf, Pusat Rehabilitasi dan Gimnasium Komuniti itu dibangunkan menerusi Geran UniMADANI 2024 dengan peruntukan RM100,000 bagi penyediaan peralatan kemudahan asas untuk pesakit.

Jelas beliau, pusat itu dikendalikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dengan sokongan Paramedik Komuniti (PARAKOM) bagi memastikan pengguna menerima pemantauan dan bimbingan terbaik untuk mendapatkan rawatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

330
Kongsi :
Previous post LAMAN BROMELIAD JADI TARIKAN PELANCONGAN BAHARU MELAKA
Next post 360 CALON SPM MELAKA NIKMATI TUISYEN MATEMATIK TAMBAHAN PERCUMA