
360 CALON SPM MELAKA NIKMATI TUISYEN MATEMATIK TAMBAHAN PERCUMA
MERLIMAU 28 Jun – Seramai 360 pelajar Tingkatan Lima di Melaka bakal menikmati tuisyen Matematik Tambahan secara percuma menerusi Program Tuisyen Matematik Tambahan Permata TYT (PROMAT), sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
Inisiatif yang dilaksanakan di bawah Yayasan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka itu merupakan antara usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh agenda pendidikan serta memastikan tiada anak Melaka tercicir daripada peluang memperoleh pendidikan berkualiti.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, program tersebut bersama program Permata Anak Melaka (PAMA) menjadi pelengkap kepada pelbagai inisiatif pendidikan yang dilaksanakan menerusi gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).
Menurut beliau, Yayasan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka telah memperuntukkan sejumlah RM175,700 bagi menjayakan kedua-dua program berkenaan.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yayasan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka kerana telah menyalurkan dana bagi menyokong pelaksanaan program pendidikan termasuk tuisyen percuma Matematik Tambahan atau PROMAT ini.
“Program-program ini melengkapkan usaha besar Kerajaan Negeri dalam memperkukuh agenda pendidikan demi melahirkan generasi anak Melaka yang lebih berilmu, berdaya saing dan berjaya pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyantuni 250 pelajar Tingkatan 5 pada Program Permata Anak Melaka (PAMA) dan Program Tuisyen Matematik Tambahan Permata TYT (PROMAT) di Pusat Kokurikulum Negeri Melaka, Jalan Seri Lancang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Siti Faizah Abd Azis; Timbalan Pengarah Pendidikan Melaka yang menjalankan tugas Pengarah Pendidikan Negeri Karim Tumin; serta Timbalan Pengerusi Yayasan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Datuk Roslan Ahmad.
Ab Rauf berkata, inisiatif tuisyen percuma PROMAT telah bermula pada 27 Jun dan bakal diadakan sehingga 24 Oktober depan membabitkan pelajar Tingkatan Lima terpilih di seluruh negeri yang mengambil mata pelajaran Matematik Tambahan.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian kepada pembangunan modal insan, khususnya dalam kalangan generasi muda yang memerlukan bimbingan dan sokongan.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya memberi jaminan kepada anak-anak muda bahawa yang memerlukan bimbingan akan kita bantu, yang memerlukan dorongan akan kita beri semangat, yang mempunyai potensi akan kita gilap dan yang mahu berjaya akan kita pimpin sehingga berjaya.
“Inilah pendekatan pendidikan yang mahu kita bina di Melaka. Setiap anak Melaka akan diberikan ruang dan peluang yang sama untuk melangkah lebih jauh serta mencapai kejayaan yang diimpikan,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


