
LAMAN BROMELIAD TINGKAT IMEJ MELAKA SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN KREATIF, LESTARI
BANDA HILIR 29 Jun – Laman Bromeliad yang dibangunkan di Taman Bunga Merdeka dijangka menjadi antara produk pelancongan baharu di Melaka menerusi konsep landskap unik berasaskan pokok nanas hiasan, seterusnya berupaya menarik perhatian pelancong tempatan dan luar negara.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, pembangunan laman berkenaan merupakan hasil kerjasama strategik antara MBMB dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dalam usaha memperindah landskap bandar sambil memperkenalkan keunikan keluarga tanaman nanas kepada masyarakat.
Menurut beliau, laman tersebut dihiasi dengan pelbagai spesies bromeliad dan nanas hiasan yang bukan sahaja mempunyai nilai estetik tinggi, malah mampu menjadi elemen landskap yang menarik di kawasan tumpuan pelancong.
“Pihak MBMB akan memastikan kawasan ini diselenggara dengan baik supaya sentiasa berada dalam keadaan menarik dan menjadi salah satu lokasi pilihan pengunjung untuk beriadah serta merakam gambar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Laman Bromeliad LPNM-MBMB dan Penyerahan Kunci Pejabat LPNM Negeri Melaka yang disempurnakan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh di Taman Bunga Merdeka, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Shadan berkata, pemilihan Taman Bunga Merdeka sebagai lokasi pembangunan Laman Bromeliad amat bertepatan memandangkan kawasan itu merupakan antara destinasi rekreasi dan pelancongan yang sering dikunjungi pengunjung serta pelancong.
“Kami berharap kewujudan laman ini dapat menambah seri dan memeriahkan lagi suasana Taman Bunga Merdeka yang sememangnya menjadi lokasi tumpuan ramai.
“Pada masa sama, ia dapat memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai keunikan bromeliad dan nanas hiasan yang mungkin masih kurang dikenali oleh sebahagian pengunjung,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan pembangunan Laman Bromeliad itu turut membuka ruang kepada MBMB untuk memperluaskan konsep landskap berasaskan nanas hiasan ke beberapa lokasi strategik lain di bawah pentadbirannya.
Katanya, inisiatif tersebut selari dengan usaha MBMB memperkasa sektor pelancongan bandar menerusi penyediaan ruang awam yang lebih menarik, kreatif dan mesra pengunjung.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


