Sorting by

×

MELAKA MOHON TIGA BALAI BOMBA BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

PAYA RUMPUT 29 Jun – Melaka akan memohon kepada Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan tiga lagi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) baharu untuk memperkukuh aspek keselamatan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, balai bomba baharu yang dicadangkan adalah di Selandar, Simpang Ampat dan Kuala Linggi bagi memenuhi keperluan liputan perkhidmatan bomba khususnya di kawasan yang mengambil masa lebih lama untuk menerima bantuan kecemasan.

Menurutnya, bagi Kuala Linggi yang terletak di bahagian paling utara negeri ini, penduduk ketika ini bergantung kepada BBP Masjid Tanah atau BBP Port Dickson, sekali gus menyebabkan tempoh respons insiden kecemasan boleh mencecah antara 20 hingga 30 minit.

“Kita memohon supaya diberikan perhatian agar Kuala Linggi turut mendapat sebuah balai bomba baharu sebagai jaminan keselamatan kepada penduduk, selain menyokong pembangunan kawasan itu yang kini menempatkan institusi-institusi pendidikan tinggi.

“Jadi kita mohon kepada Kerajaan Persekutuan supaya mempertimbangkan pembinaan tiga lagi balai bomba baharu demi kepentingan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Cheng di BBP Cheng, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Dr. M. Noor Azman Taib; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Timbalannya, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Ts. Nor Hisham Mohammad serta Pengarah JBPM Negeri Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zaidi Ma’at.

Mengulas lanjut Ab Rauf berkata pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Cheng menelan belanja RM4.4 juta menerusi kerjasama Yayasan Melaka menggunakan kaedah ‘land swap’.

“Dengan adanya balai bomba ini ia sekali gus menjadikan Melaka kini mempunyai 11 balai bomba dan penyelamat yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

544
Kongsi :
Previous post LAMAN BROMELIAD TINGKAT IMEJ MELAKA SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN KREATIF, LESTARI
Next post PERAHU NAGA LAMBANG PERPADUAN