Sorting by

×

PERAHU NAGA LAMBANG PERPADUAN

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BANDA HILIR 29 Jun – Penganjuran Perlumbaan Perahu Naga bersempena Pesta Perahu Naga Melaka Ke-41 bukan sekadar mengangkat warisan budaya, malah menjadi platform terbaik dalam memperkukuh perpaduan rakyat pelbagai kaum menerusi semangat kerjasama dan kebersamaan.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata penyertaan 115 pasukan dari dalam dan luar negara membuktikan acara tahunan itu terus mendapat sambutan selain berupaya menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang bangsa.

“Perlumbaan Perahu Naga bukan hanya menggambarkan budaya masyarakat Cina sebaliknya ia menjadi medium untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta melambangkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kita dapat lihat penyertaan acara ibu melibatkan semua kaum, termasuk Melayu, Cina dan India. Ini membuktikan sukan ini diminati serta mampu menyatukan masyarakat berbilang bangsa,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, beliau mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Perlumbaan Perahu Naga Melaka 2026 di Sungai Melaka, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin dan Pengarah Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Produk Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Khairunnisa Ibno Masooda.

Mengulas lanjut Hee Sem berkata, semangat berpasukan yang diterapkan dalam sukan itu turut membawa mesej penting mengenai kepentingan kerjasama dalam membentuk sebuah masyarakat yang harmoni.

“Dalam perlumbaan ini, setiap pendayung perlu bergerak seiring. Jika ada yang bertindak mengikut haluan sendiri, pasukan tidak akan berjaya dan nilai kerjasama inilah yang perlu diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat.

“Semangat saling memahami, bekerjasama dan bergerak sebagai satu pasukan adalah asas kepada perpaduan yang kukuh,” katanya.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Persatuan Perahu Naga Negeri Melaka, PPSPM serta Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) atas komitmen menjayakan penganjuran perlumbaan berprestij itu yang terus menjadi antara tarikan pelancongan utama negeri.

Hee Sem berharap penganjuran acara berkenaan akan terus diperkasakan pada masa hadapan sebagai platform mengukuhkan perpaduan rakyat, di samping mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan dan sukan bertaraf antarabangsa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

568
Kongsi :
Previous post MELAKA MOHON TIGA BALAI BOMBA BAHARU
Next post MELAKA SALUR LEBIH RM152,000 BELA KEBAJIKAN ‘WIRA MERAH’