Sorting by

×

MELAKA SALUR LEBIH RM152,000 BELA KEBAJIKAN ‘WIRA MERAH’

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

PAYA RUMPUT 29 Jun – Kerajaan Negeri telah menyalurkan lebih RM152,000 bagi menjayakan pelbagai program kebajikan, latihan, sokongan serta pengukuhan kesiapsiagaan pasukan bomba di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia sebagai tanda komitmen berterusan bagi menghargai jasa barisan ‘Wira Merah’ yang mempertaruhkan nyawa demi keselamatan masyarakat sentiasa diberi perhatian.

Menurutnya, dalam gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa), kasih kepada rakyat tidak akan sempurna sekiranya kerajaan hanya menjaga kebajikan rakyat tetapi mengabaikan kebajikan mereka yang setiap hari berkorban demi menyelamatkan nyawa orang lain.

“Atas dasar itulah, kebajikan warga bomba akan terus menjadi perhatian Kerajaan Negeri. Apabila kita menjaga kebajikan Wira Merah, secara tidak langsung kita memperkukuhkan keselamatan seluruh rakyat Melaka.

“Komitmen ini akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa selaras dengan kemampuan kewangan negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng, di balai berkenaan sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Dr. M. Noor Azman Taib; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Ts. Nor Hisham Mohammad serta Pengarah JBPM Negeri Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zaidi Ma’at.

Ab Rauf berkata, sebagai bukti komitmen itu, pada tahun 2024 Kerajaan Negeri turut menyalurkan sumbangan 11 unit gergaji berantai (chainsaw) bernilai lebih RM32,000 untuk kegunaan balai-balai bomba di seluruh Melaka.

Katanya, walaupun nilainya mungkin dilihat tidak begitu besar, setiap peralatan yang mampu mempercepatkan operasi menyelamat memberi impak besar dalam usaha menyelamatkan lebih banyak nyawa.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan Skim Mesra Pelancongan yang menawarkan tiket masuk percuma ke beberapa destinasi pelancongan terpilih sempena Sambutan Hari Badan Beruniform sebagai tanda penghargaan kepada seluruh barisan hadapan.

“Ini bukan sekadar satu insentif, tetapi tanda penghargaan kerajaan kepada insan yang setiap hari mengorbankan masa bersama keluarga demi menjaga keselamatan keluarga orang lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

262
Kongsi :
Previous post PERAHU NAGA LAMBANG PERPADUAN
Next post PENGLIBATAN JBPM DI PBT LANCARKAN URUSAN PEMBANGUNAN MELAKA