Sorting by

×

JBPM SUSUN BALAI BOMBA IKUT TAHAP RISIKO KEBAKARAN

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

PAYA RUMPUT 29 Jun – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini merangka pembangunan balai bomba seluruh negara berdasarkan pendekatan pemetaan risiko secara menyeluruh termasuk analisis kawasan liputan berasaskan grid 100 kilometer persegi.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, pendekatan itu membolehkan perancangan penempatan balai bomba dibuat secara lebih tepat, dinamik dan berpandukan keperluan sebenar di lapangan.

“Pembinaan balai bomba ini termasuk mengambil kira perkembangan pembangunan baharu seperti kawasan industri dan pembangunan berorientasikan transit (TOD).

“Kita telah jajarkan dan mengambil kira berdasarkan risiko kebakaran mengikut grid, daripada situ kita boleh lihat tahap risiko di sesuatu kawasan dan terjemah kepada keperluan sebenar penempatan balai bomba,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Cheng yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di balai berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Dr. M. Noor Azman Taib yang mewakili Timbalan Menteri KPKT; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta Pengarah JBPM Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zaidi Ma’at.

Menurutnya, berdasarkan keseluruhan perancangan semasa, JBPM kini mengoperasikan 344 balai bomba di seluruh negara, manakala 15 lagi balai sedang dalam pembinaan dan dijangka siap dalam tempoh antara satu hingga empat tahun akan datang bergantung kepada kompleksiti projek.

“Kita telah mengenal pasti keperluan tambahan sebanyak 81 tapak balai bomba baharu di seluruh negara, empat telah dicadangkan dimasukkan dalam Rancangan Pembangunan (RP2), manakala baki selebihnya masih dalam senarai perancangan jangka panjang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

390
Kongsi :
Previous post PENGLIBATAN JBPM DI PBT LANCARKAN URUSAN PEMBANGUNAN MELAKA
Next post RESORT RM18 JUTA BAKAL UBAH WAJAH PELANCONGAN UMBAI