
WRUR BUKAN NOKTAH KHIDMAT KERAJAAN KEPADA RAKYAT
SUNGAI RAMBAI 5 Julai – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bukan penamat kepada usaha Kerajaan Negeri menyantuni rakyat, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada gerak kerja yang lebih menyeluruh dalam memastikan setiap isu dan keperluan masyarakat terus diberi perhatian.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kerajaan memahami masih ada rakyat yang tertanya-tanya sama ada suara mereka akan terus didengari dan aduan yang dibangkitkan sepanjang WRUR akan disusuli selepas program itu berakhir.
Justeru, beliau menjelaskan segala maklum balas yang diterima menerusi WRUR akan terus dipantau pelaksanaannya supaya manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat segenap lapisan umur.
“Ada yang bertanya, selepas selesainya WRUR, adakah suara mereka masih didengar, adakah aduan yang dibangkitkan akan terus disusuli dan adakah kerajaan masih akan turun menyantuni rakyat seperti hari ini.
“Jawapan saya jelas, WRUR bukanlah noktah kepada khidmat kerajaan. Sebaliknya, ia adalah asas kepada gerak kerja yang lebih besar dan lebih menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dan Program Hello Komoditi 2026 sempena Program WRUR Jasin: Kampung Kita di Padang Kampung Seri Mendapat, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abd Azis serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi Shafie Taib; Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan) Mewakili Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr. Zaki Aman; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, berlandaskan aspirasi Melaka Sayang Rakyat (MeSRa), Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat sebagai kesinambungan kepada WRUR bagi memastikan pendekatan turun padang terus dilaksanakan secara konsisten.
Katanya, inisiatif baharu itu membolehkan pentadbiran beliau mendengar sendiri suara rakyat, memantau perkembangan isu yang dibangkitkan serta memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Beliau berkata, jika WRUR menjadi platform menghimpunkan aduan, cadangan dan keperluan rakyat, Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat pula menjadi mekanisme susulan bagi memastikan setiap perancangan dan penyelesaian yang diputuskan benar-benar dilaksanakan.
Menurutnya, pendekatan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan hubungan antara kerajaan dan rakyat tidak terhenti selepas berakhirnya sesuatu program, sebaliknya diteruskan secara berterusan melalui pemantauan serta tindakan susulan di lapangan.
“Kita mahu pastikan siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat ini mengukuhkan sistem WRUR dengan impak maksimum dan tiada aduan rakyat yang terbiar tanpa kesudahan,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


