Sorting by

×

POTENSI BESAR SUNGAI RAMBAI SEBAGAI DESTINASI AGROPELANCONGAN

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

SUNGAI RAMBAI 5 Julai – Sungai Rambai mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi agropelancongan luar bandar, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Jelas beliau, ia berdasarkan kekuatan dan kelebihan kawasan itu menerusi gabungan sektor pertanian, perladangan, produk tempatan dan keindahan suasana desa.

Justeru, Ketua Menteri percaya, segala kelebihan yang dimiliki kawasan itu perlu diperkasakan secara optimum bagi mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk, selain menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negeri.

“Saya melihat Sungai Rambai mempunyai potensi yang sangat besar untuk muncul sebagai destinasi agropelancongan luar bandar dengan kekuatan sektor pertanian, perladangan, produk tempatan dan landskap desa yang indah.

“Jadi, saya percaya kawasan ini mampu menjadi destinasi pilihan pelancong, sekali gus membuka sumber pendapatan baharu kepada penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dan Program Hello Komoditi 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Jasin: Kampung Kita DUN Sungai Rambai di Padang Kampung Seri Mendapat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abd Azis serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi Shafie Taib; Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan) Mewakili Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr. Zaki Aman; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ab Rauf optimis apabila sektor pertanian diperkasakan, penyelidikan dipertingkatkan, infrastruktur diperlengkapkan dan pelancongan digerakkan, Sungai Rambai akan lebih dikenali sebagai kawasan pengeluar komoditi, dan seterusnya sebagai penempatan yang mencipta kemakmuran, peluang dan masa depan untuk rakyatnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

368
Kongsi :
Previous post JELAJAH KETUA MENTERI SAYANG RAKYAT TERJEMAH PERANAN AB RAUF SEBAGAI ‘ADIWIRA’ RAKYAT
Next post WRUR BUKAN NOKTAH KHIDMAT KERAJAAN KEPADA RAKYAT