Sorting by

×

JELAJAH KETUA MENTERI SAYANG RAKYAT TERJEMAH PERANAN AB RAUF SEBAGAI ‘ADIWIRA’ RAKYAT

Masa Membaca:2 Minit, 18 Saat

SUNGAI RAMBAI 5 Julai – Edisi sulung program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menyemak semula keberkesanan sistem penyampaian aduan rakyat secara terus di peringkat akar umbi.

Program turun padang yang diilhamkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh itu merupakan kesinambungan daripada penganjuran program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), di mana ia berperanan sebagai mekanisme semak dan imbang (spotcheck) bagi memastikan setiap aduan yang dikemukakan oleh masyarakat sebelum ini telah diselesaikan sepenuhnya oleh agensi berkaitan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi siri jelajah itu, ia memberi ruang kepadanya untuk mendengar sendiri maklum balas daripada penduduk setempat dalam menyuarakan permasalahan secara terus tanpa sebarang halangan birokrasi.

“Jelajah ini berlandaskan rasa kasih sayang yang mendalam kepada rakyat. Kita turun ke lapangan bukan sekadar untuk mendengar, tetapi untuk memastikan tindakan penyelesaian telah dan sedang diambil.

“Kita juga mahu memastikan siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat ini mengukuhkan sistem WRUR dengan impak maksimum dan tiada aduan rakyat yang terbiar tanpa kesudahan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dan Hello Komoditi 2026 Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Jasin: Kampung Kita DUN Sungai Rambai di Padang Kampung Seri Mendapat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abd Azis serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi Shafie Taib; Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan) Mewakili Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr. Zaki Aman; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom serta lain-lain kenamaan.

Terdahulu, menerusi siri jelajah itu, Ketua Menteri bersama kira-kira 100 konvoi motosikal telah meluangkan masa bersarapan pagi bersama rakyat di Warung Simpang Parit Putat.

Selepas itu, beliau hadir ke Bangunan 3P yang dijadikan rumah ngaji oleh penduduk di kawasan Kampung Parit Putat, di mana Ketua Menteri telah menyampaikan sumbangan kerusi dan meja bagi kegunaan dan kemudahan masyarakat di kawasan itu.

Konvoi jelajah itu kemudiannya bergerak menuju ke Jeti Nelayan Sebatu, di mana Ab Rauf meluangkan masa kira-kira 20 minit menyantuni dan mendengar sendiri segala masalah membabitkan komuniti nelayan di situ dan seterusnya mencari jalan penyelesaian terbaik bagi keselesaan pejuang laut yang membantu dalam memperkukuh agenda keterjaminan makanan negeri.

Menurut Ketua Menteri, siri jelajah itu membuktikan kepimpinan negeri sentiasa meletakkan kebajikan dan kemakmuran rakyat sebagai keutamaan, secara tidak langsung ia berupaya memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran pada hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

442
Kongsi :
Previous post ‘BUKAN RAKYAT CARI KETUA MENTERI, TAPI KETUA MENTERI TURUN JUMPA RAKYAT’
Next post POTENSI BESAR SUNGAI RAMBAI SEBAGAI DESTINASI AGROPELANCONGAN