
‘BUKAN RAKYAT CARI KETUA MENTERI, TAPI KETUA MENTERI TURUN JUMPA RAKYAT’
SUNGAI RAMBAI 5 Julai – Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat menjadi satu lagi manifestasi keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menyantuni rakyat di segenap pelusuk negeri.
Sungai Rambai dipilih sebagai Dewan Undangan Negeri (DUN) pertama bagi siri jelajah itu yang menyaksikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh hadir ke beberapa lokasi bagi mendengar sendiri segala rintihan, keluhan dan pandangan rakyat.
Menurut Ketua Menteri, program itu diilhamkan dalam memastikan tiada satu rakyat terpinggir atau tertinggal di bawah gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).
“Di bawah siri jelajah ini, saya sendiri datang untuk berjumpa dengan rakyat dan bukannya rakyat berjumpa Ketua Menteri.
“Saya mahu mendengar sendiri segala rintihan, keluhan dan pandangan rakyat dalam membantu pentadbiran ini memberikan perkhidmatan yang terbaik, demi rakyat untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dan Hello Komoditi 2026 Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Jasin: Kampung Kita di Padang Kampung Seri Mendapat, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abd Azis serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi Shafie Taib; Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan) Mewakili Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr. Zaki Aman; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat merupakan kesinambungan kepada pendekatan santunan Kerajaan Negeri yang sebelum ini dilaksanakan menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Hari Exco Bertemu Rakyat (HEBAT).
Katanya, pelaksanaan program itu turut membuktikan kesungguhan pentadbiran beliau dalam memastikan penyampaian perkhidmatan awam sentiasa berteraskan keperluan rakyat melalui pendekatan turun padang dan penyelesaian secara langsung.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua agensi kerajaan negeri dan Persekutuan yang sentiasa memberikan kerjasama terbaik dalam menjayakan agenda pembangunan serta merealisasikan harapan rakyat Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


