MELAKA BUKA TIRAI JELAJAH AKAR 2026, PTPTN SEMAI BUDAYA MENABUNG

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER KEROH 29 Julai – Melaka dipilih sebagai lokasi pembukaan Program Jelajah Anugerah Kreatif Aspirasi Reka (AKAR) 2026, inisiatif Yayasan KRU dengan kerjasama strategik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi mencungkil bakat kreatif murid sekolah rendah serta memupuk kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar.

Siri jelajah yang berlangsung dari 13 Julai hingga 25 September depan itu akan menjelajah ke 40 sekolah di seluruh negara, dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Kesang Tua, Jasin menjadi lokasi pertama sebelum diteruskan di SK Selandar dan SK Pernu.

Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Melaka, Mas Anisah Ayu Othman berkata, penyertaan PTPTN dalam Program Jelajah AKAR 2026 mencerminkan komitmen berterusan agensi itu dalam menyokong agenda pembangunan pendidikan negara, bukan sahaja menerusi pembiayaan pendidikan tinggi, malah dengan menyemai budaya menabung dalam kalangan generasi muda melalui Simpan SSPN.

Menurutnya, akaun Simpan SSPN turut disumbangkan kepada murid prasekolah sebagai galakan memulakan tabungan pendidikan sejak usia muda, selain hadiah kepada pemenang pertandingan mewarna dan melukis turut disalurkan menerusi akaun berkenaan.

“Usaha ini bertujuan memupuk kesedaran mengenai kepentingan perancangan kewangan pendidikan sejak awal, sekali gus membantu ibu bapa menyediakan dana pendidikan anak-anak secara lebih sistematik dan berkesan.

“Kerjasama strategik antara PTPTN dan Yayasan KRU menerusi Program Jelajah AKAR 2026 membuktikan komitmen kedua-dua organisasi dalam melahirkan generasi yang kreatif, berdaya saing serta mempunyai kesedaran tinggi terhadap kepentingan pendidikan, kelestarian alam sekitar dan amalan menabung sejak usia muda,” katanya.

Terdahulu, Mas Anisah hadir ke Majlis Pelancaran Jelajah AKAR 2026 yang disempurnakan Presiden Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU, Datuk Norman Abdul Halim dan turut bersama, Pemangku Guru Besar SK Kesang Tua, Hisham Juhari.

Pelbagai aktiviti interaktif dianjurkan sepanjang program itu, antaranya persembahan maskot Zan Orang Utan, pertandingan mewarna, pertandingan melukis, Kuiz IQ Genius serta Kuiz Kesedaran Alam Sekitar yang mendapat sambutan menggalakkan daripada murid dan guru.

Mas Anisah berharap, program seumpamanya akan terus menjadi platform berkesan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan Simpan SSPN sebagai instrumen perancangan pendidikan masa hadapan, sekali gus memperkukuh peranan PTPTN sebagai peneraju tabungan pendidikan negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

265
Kongsi :
Previous post REZEKI BAKAL CAHAYA MATA PERTAMA, KAKITANGAN SAMB MENANG PROTON SAGA