MENARA TAMING SARI TERUSKAN MISI CUCI KENDERAAN AMAL

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

BANDA HILIR 29 Julai – Orang ramai bukan sahaja menikmati perkhidmatan mencuci kenderaan berkualiti pada harga berpatutan, malah berpeluang menyumbang kepada aktiviti kebajikan menerusi Program Cuci Kereta Amal anjuran Kelab Kebajikan dan Sukan Menara Taming Sari (KKSMTS).

Pengurus Jualan dan Pemasaran Melaka Taming Sari Berhad (MTSB), Mohd Husni Husin berkata, sambutan menggalakkan diterima pada penganjuran siri pertama mendorong pihaknya mengadakan program itu buat kali kedua.

Katanya, program berkenaan dilaksanakan hasil inisiatif KKSMTS dengan penglibatan sepenuhnya kakitangan MTSB yang tampil sebagai sukarelawan bagi menjayakan aktiviti amal itu.

“Program cuci kereta ini merupakan idea dan usaha kelab kami. Alhamdulillah sambutan pada penganjuran pertama sebelum ini amat menggalakkan.

“Pengunjung juga berpuas hati kerana perkhidmatan kami memuaskan, kenderaan mereka bersih, bayaran pula cuma RM10 sahaja. Semua hasil kutipan menerusi program ini akan disumbangkan kepada pihak yang memerlukan,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Program Cuci Kereta Amal anjuran KKSMTS di Parkir Menara Taming Sari, di sini, hari ini.

Menurutnya, sekiranya sambutan terus menggalakkan, pihaknya berhasrat menjadikan program itu sebagai aktiviti bulanan, khususnya pada hujung minggu atau cuti umum.

“Insya-Allah, KKSMTS mempunyai perancangan tersendiri untuk memilih masa yang sesuai, terutama ketika ada kehadiran pengunjung yang ramai.

“Program amal seperti ini dapat memupuk sifat tanggungjawab, semangat jati diri dan rasa sayang terhadap syarikat, selain memberi peluang kepada kakitangan berbakti kepada masyarakat menerusi perkhidmatan yang ditawarkan pada harga mampu milik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

274
Kongsi :
Previous post MELAKA BUKA TIRAI JELAJAH AKAR 2026, PTPTN SEMAI BUDAYA MENABUNG