TIANG FIBER GUNA SAMA PEMANGKIN PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR DIGITAL

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

TABOH NANING 29 Julai – Inisiatif Tiang Fiber Guna Sama dilancarkan Kerajaan Negeri menerusi Koridor Utiliti Melaka Sdn Bhd (KUM) menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan infrastruktur digital Melaka dengan penyediaan rangkaian telekomunikasi yang lebih sistematik.

Ketua Pegawai Eksekutif KUM, Ismael Hamdan berkata, konsep guna sama itu membolehkan pelbagai penyedia perkhidmatan menggunakan infrastruktur yang sama tanpa perlu membina tiang secara berasingan.

Katanya, menerusi pendekatan perkongsian infrastruktur ini ia dapat menarik lebih banyak pelaburan dan membuka peluang ekonomi baharu kepada negeri.

“Inisiatif Tiang Fiber Guna Sama ini dirangka bagi menyokong agenda pendigitalan negeri selain mempercepatkan penyediaan kemudahan telekomunikasi yang lebih tersusun, cekap dan mampan.

“Kami komited untuk menjadi pemudah cara utama dalam penyelarasan pembangunan utiliti dan infrastruktur komunikasi negeri selain amat berharap lebih banyak kawasan di negeri ini menikmati capaian internet berkelajuan tinggi serta stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dan Perasmian Tiang Fiber Guna Sama Koridor Utiliti Melaka Sdn Bhd yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Taman Perling Impian, Simpang Ampat, pada Selasa.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Menurut Ismail, pelaksanaan projek perintis yang menjadikan perumahan baharu Taman  Perling Impian, Simpang Ampat sebagai lokasi melibatkan pemasangan 85 unit tiang fiber guna sama dan merangkumi 315 premis kediaman.

“Sesungguhnya pelancaran Tiang Fiber Guna Sama yang pertama di Malaysia ini bukan sekadar pelaksanaan sebuah projek infrastruktur tetapi simbol kesungguhan Melaka dalam memperkukuhkan agenda transformasi digital demi kesejahteraan serta kemajuan negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

523
Kongsi :
Previous post HARIMAU MALAYA ‘BELAYAR’ DI SUNGAI MELAKA, SEBAR MESEJ KONSERVASI
Next post MELAKA SATU-SATUNYA NEGERI BEKAL PLASMA UNTUK NEGARA