HARIMAU MALAYA ‘BELAYAR’ DI SUNGAI MELAKA, SEBAR MESEJ KONSERVASI

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BANDA HILIR 29 Julai – Pelancaran bot bertemakan Harimau Malaya di Melaka River Cruise bukan sekadar menambah tarikan pelancongan baharu, malah menjadi platform mendidik masyarakat mengenai kepentingan memelihara spesies ikonik negara yang kini berdepan ancaman kepupusan.

Pengurus Zoo Melaka, Dr. Zahidah Izzati Zeid berkata, inisiatif hasil kerjasama antara Zoo Melaka dan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) itu dilaksanakan bersempena Sambutan Hari Harimau Sedunia 2026 bagi memperluaskan kesedaran awam mengenai usaha konservasi Harimau Malaya.

Menurut beliau, konsep bot bertemakan Harimau Malaya dipilih sebagai pendekatan kreatif untuk mendekatkan mesej pemuliharaan kepada pengunjung yang menaiki Melaka River Cruise.

“Kita mahu setiap pengunjung bukan sahaja menikmati pelayaran di Sungai Melaka, malah pulang dengan pengetahuan mengenai Harimau Malaya serta kepentingan memelihara spesies ini.

“Melalui kolaborasi ini, mesej konservasi dapat disampaikan kepada lebih ramai masyarakat dalam suasana yang santai, interaktif dan dekat dengan pengunjung,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada Majlis Pelancaran Bot Bertemakan Harimau Malaya di Melaka River Cruise, di sini, pada Isnin.

Dr. Zahidah Izzati berkata, Zoo Melaka kini menempatkan tiga ekor Harimau Malaya di bawah Program MyBIT, iaitu program pembiakan Harimau Malaya dalam kurungan yang bertujuan meningkatkan populasi spesies itu sebagai usaha pemuliharaan jangka panjang.

Katanya, program berkenaan memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan Harimau Malaya yang kini semakin terancam akibat kehilangan habitat, pencerobohan hutan dan aktiviti pemburuan haram.

“Harimau Malaya adalah khazanah negara yang menjadi simbol kebanggaan Malaysia. Tanggungjawab memelihara spesies ini bukan hanya terletak pada agensi tertentu, tetapi memerlukan sokongan seluruh masyarakat.

“Sebab itu kita berharap platform seperti Melaka River Cruise dapat membantu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan konservasi biodiversiti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

472
Kongsi :
Previous post ‘STOM’ BUKTI MELAKA TELUS, PERKASA INTEGRITI PEROLEHAN AWAM