PERZIM, ARKIB NEGARA JALIN KERJASAMA STRATEGIK PELIHARA KHAZANAH SEJARAH MELAKA

Masa Membaca:57 Saat

BANDA HILIR 29 Julai – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) memperluas kerjasama strategik bersama Arkib Negara Malaysia Negeri Melaka dalam bidang penyelidikan, dokumentasi serta penerbitan ilmiah bagi memperkukuh usaha pemeliharaan khazanah sejarah dan warisan negeri.

Pengurus Bersar PERZIM, Erne Hamsah berkata persefahaman berhubung kerjasama itu adalah hasil perbincangan ketika kunjung hormat Arkib Negara Malaysia Negeri Melaka yang diketuai Pengarahnya, Maimunah Osman.

Erne berkata, kerjasama itu berpotensi menghasilkan pelbagai inisiatif bersama termasuk program berkaitan sejarah, pembangunan bahan rujukan serta perkongsian kepakaran dalam bidang dokumentasi warisan.

“Antara perkara dibincangkan ialah peluang kerjasama penerbitan melibatkan penghasilan buku, jurnal, katalog, bahan dokumentasi dan penerbitan ilmiah yang mampu memperkayakan sumber rujukan sejarah Melaka.

“Ini bukan sahaja dapat memperkukuh usaha penyelidikan dan pendokumentasian, malah memberi manfaat kepada masyarakat menerusi penyebaran ilmu serta pemahaman terhadap sejarah dan warisan negeri,” katanya.

Katanya, kunjung hormat berkenaan turut menjadi platform bagi kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama yang boleh dilaksanakan pada tahun hadapan.

“Melalui hubungan strategik ini, kedua-dua agensi dapat memperkukuh pengurusan maklumat sejarah, memperluas akses bahan rujukan serta memastikan warisan negeri terus dihargai generasi akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

607
Kongsi :
Previous post MELAKA SATU-SATUNYA NEGERI BEKAL PLASMA UNTUK NEGARA